fbpx
PRESIDEN Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill.

Amarjit dilantik Naib Presiden UCI pertama dari Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill mencipta sejarah apabila dipilih sebagai Naib Presiden Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) pada Kongres UCI kali ke-194 di Kigali, Rwanda semalam.

Pemilihan itu menjadikan Amarjit muncul rakyat Malaysia pertama menduduki kerusi kepimpinan tertinggi badan induk berbasikal dunia, sekali gus mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Selain Amarjit, turut dipilih sebagai Naib Presiden UCI bagi penggal 2025–2029 ialah Enrico Della Casa dari Itali, Katerina Nash (Republik Czech) dan Jose Manuel Pelaez (Cuba).

Bagi Amarjit, pemilihan itu bukan sekadar kejayaan peribadi tetapi pengiktirafan global terhadap peranan Asia dalam membentuk masa depan berbasikal dunia.

“Ia penghormatan besar apabila saya dipilih sebagai Naib Presiden pertama UCI dari Malaysia.

“Pemilihan ini bukti kepercayaan rakan-rakan komuniti berbasikal global dan saya dedikasikan kejayaan ini demi melayani keluarga berbasikal dunia dengan penuh integriti, inklusiviti dan visi,” katanya.

Beliau yang juga Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) menegaskan komitmennya untuk bekerjasama rapat dengan Presiden UCI, David Lappartient serta rakan sejawatan lain bagi memastikan sukan berbasikal terus menginspirasi, menyatukan dan berkembang di setiap benua.

Dalam masa sama, Presiden UCI, David Lappartient dalam reaksinya mengalu-alukan pemilihan Amarjit yang dianggap membawa pengalaman luas dan visi progresif.

Kehadiran beliau dalam kepimpinan tertinggi UCI mencerminkan suara Asia yang semakin berpengaruh, sekali gus diyakini mampu memainkan peranan penting dalam memastikan sukan berbasikal terus berkembang dengan kuat.

Amarjit sebelum ini berkhidmat selama dua penggal sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif UCI sejak 2017, selain turut mewarisi legasi ayahnya, Tan Sri Darshan Singh Gill yang pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Eksekutif UCI dari 1996 hingga 2005. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN