TELUK INTAN – Seorang lelaki kurang upaya (OKU) ditemukan maut selepas terjatuh ke dalam parit berhampiran rumahnya di Jalan Labu Kubong, Kampung Cenderong Balai di sini hari ini.
Mangsa, Mohd. Zaidi Omar, 48, yang lumpuh sebelah kiri badan dan berkerusi roda disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd. Hanafiah berkata, maklumat kejadian itu diterima pada pukul 8.02 pagi.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan segera diatur gerak ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.
“Setibanya di tempat kejadian, mangsa didapati telah berada di dalam parit. Anggota kemudian diarahkan untuk memakai pakaian kelengkapan perlindungan diri (PPE) bagi operasi menaikkan mangsa ke tebing.
“Pasukan perubatan yang berada di lokasi insiden itu bagaimanapun mengesahkan mangsa telah pun meninggal dunia. Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Menurut beliau, operasi yang disertai tujuh anggota BBP Teluk Intan itu tamat pada pukul 9.45 pagi,” katanya. – KOSMO! ONLINE