BEIJING – Satu formasi batu di Gunung Songshan, wilayah Henan, tengah China ditutup dengan kain selepas ramai pendaki terkejut dan ketakutan apabila melihatnya, lapor portal berita MSNews semalam.
Sebelum ini, batu itu dicat secara kreatif menyerupai kepala ular gergasi.
Gambar menunjukkan pihak berkuasa menutup batu itu dengan kain berwarna hijau supaya pendaki tidak terkejut melihatnya.
Menurut portal berita ET Today, ‘ular sawa batu’ itu mula tular di internet pada 19 September lalu.
Terletak di sebatang sungai, batu yang dilukis itu mudah disangka sebagai ular sawa yang sangat besar menjulurkan kepalanya di permukaan air.
Menurut pihak berkuasa tempatan, formasi batu tersebut terbentuk sejak berjuta-juta tahun lalu.
Terdapat banyak aduan daripada pendaki sehingga menyebabkan pentadbiran tempatan memutuskan untuk menutup batu itu dengan sehelai kain berwarna hijau. – AGENSI