PETALING JAYA – Penerbit, Datuk A. Aida yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur pagi tadi dikatakan rebah selepas menjalani fisioterapi.
Rakan baiknya juga Dekan Fakulti Pengajian Islam (FPI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr. Mohd. Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, A. Aida yang menjalani pembedahan lutut pada Selasa lalu dalam keadaan normal, namun tiba-tiba rebah selepas sesi rawatan dilakukan.
“Dua hari lepas A. Aida menjalani pembedahan pada kedua-dua lututnya dan semalam dia okey saja, sihat tiada sebarang masalah.
“Bagaimanapun pagi tadi sewaktu melakukan rawatan fisioterapi tiba-tiba dia rebah dan muntah Bila dia muntah, dia macam nak jatuh dan kakitangan hospital membawanya ke katil tetapi tekanan darahnya pula menurun.
“Sementara nak tunggu doktor tiba, dia sudah tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi media.
Menurut Izhar lagi, rakannya itu kini masih dalam pemantauan doktor, manakala punca sebenar masalah yang mengakibatkan tahap kesihatannya menurun belum dapat dikenalpasti.
“Setakat ini dia masih dalam pemantauan doktor. Sekarang dia masih tidak sedar kerana terpaksa ditidurkan,” ujarnya.
Terdahulu, A. Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 55, dilaporkan dirawat di ICU namun punca sebenar penyakitnya tidak dimaklumkan.
Sebelum ini, ibu kepada tiga anak itu yang ligat bekerja itu tidak pernah mendedahkan mempunyai penyakit mahupun berada dalam keadaan kurang aktif. – KOSMO! ONLINE