JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan tiga pegawai kerajaan sedang leka bermain kad permainan UNO di dalam pejabat ketika waktu bekerja, lapor laman berita Tribunnews kelmarin.
Tiga wanita beruniform penjawat awam itu merupakan kakitangan Badan Pemerkasaan Wanita, Perlindungan Kanak-Kanak dan Perancang Keluarga (DP3AKB) Kota Pariaman, wilayah Sumatera Barat.
Dalam video tular itu, ketiga-tiga mereka sedang bermain kad di pejabat dengan memakai pakaian seragam lengkap dengan lambang Kerajaan Bandaraya Pariaman (Pemkot).
Video itu bagaimanapun mencetuskan kecaman pengguna media sosial yang mengkritik tindakan pegawai kerajaan bermain kad ketika waktu bekerja.
Pemangku Ketua DP3AKB Kota Pariaman, Ika Septia Maulana bagaimanapun tampil menjelaskan keadaan itu dengan mengatakan bahawa ketiga-tiga kakitangan tersebut menggunakan kad yang memang disediakan di jabatan tersebut.
“Kad yang mereka main itu memang tersedia di pejabat memandangkan mereka ialah pegawai pendamping mangsa kanak-kanak,” kata Ika.
Tambahnya, kad UNO digunakan sebagai cara untuk mendekati kanak-kanak yang juga merupakan satu medium komunikasi.
“Mereka juga bermain kad selepas menyelesaikan pekerjaan menjelang waktu rehat,” katanya. – AGENSI