fbpx
BIARPUN semua anggota Elite sudah bukan lagi berstatus anak dara, aksi mereka di atas pentas Dewan Plenary penuh bertenaga dan menghiburkan lebih 2.500 penonton.

Elite ‘termengah-mengah’ tetapi menghiburkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TANGGAL 20 September 2025 menjadi saksi kepada sebuah perjalanan muzik yang penuh nostalgia apabila kumpulan terkenal era 1990-an iaitu Elite kembali menggegarkan pentas menerusi konsert Elite Live ‘25.

Berlangsung di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), aura dan pesona setiap anggota kumpulan itu iaitu Abby Abadi, Linda Rafar, Sasha Saidin, Watie Sadali dan Azza Zawari tidak pernah pudar.

Jadi tidak hairanlah kenapa penganjur Icon Entertaiment berani menganjurkan konsert Elite biarpun mereka sudah lama tidak bergandingan membuat persembahan sebagai sebuah kumpulan.

Lebih 2,500 peminat pada malam itu teruja untuk melihat kumpulan kesayangan mereka kembali beraksi mendendangkan rangkaian lagu malar segar yang pernah dipopularkan Elite satu ketika dahulu.

Saat lima figura itu melangkah masuk di atas pentas, dewan terus bergema dengan sorakan dan tepukan gemuruh peminat. Elite membuka pentas dengan lagu La Diva kemudian disusuli dengan lagu Merbahaya, Aku Siapa Kau Siapa dan Sesuatu Di Dalam Dirimu.

Usai membuka pentas, masing-masing menyapa hadirin dengan keadaan termengah-mengah dan duduk di atas lantai pentas.

“Azza dan Abby okey ke,” soal Linda yang melihat rakan-rakannya yang termengah-mengah.

“Watie mesti okey sebab dia cikgu zumba,” tambah Linda.

“Zumba lain awak. Zumba tak perlu menyanyi. Ini nak kena menyanyi, menari dan rap lagi,” balas Watie.

Telatah mereka berlima menggeletek hati penonton sementelah masing-masing ada perkara lucu yang nak dibualkan. Abby di satu sudut dilihat terus terbaring dek menahan sakit kerana demam sejak dua hari sebelum hari konsert.

Namun mereka berlima tetap bersemangat untuk memberikan yang terbaik selama dua jam konsert berlangsung.

Ketepikan soal vokal kerana jika mahu menilai mutu vokal setiap seorang, masing-masing sudah tahu bahawa Elite bukanlah penyanyi yang bersandarkan kepada vokal semata-mata.

Mereka menang di sudut visual dan personaliti. Mujur lagu-lagu mereka merupakan lagu yang ‘sing along’. Jadi ‘kecacatan’ pada kualiti vokal boleh ditutup dengan suara peminat yang turut menyanyi bersama.

ELITE menggamit kenangan penonton yang kebanyakan lahir tahun 1980-an dan 1990-an. – BANGSAWAN PICTURE

Ligat, koreografi

Pujian harus diberikan pada Elite kerana masih ligat menari mengikut koreografi meski ada seorang dua yang terlambat atau tersalah langkah.

Melihat gaya mereka berlima menari seakan-akan mengimbau semula zaman mereka menjadi ‘trendsetter’ fesyen dan gaya hidup anak muda sekitar penghujung 1990-an.

Satu yang istimewa tentang Elite adalah ‘chemistry’ antara satu sama lain. Gelak tawa, usikan spontan dan gurau senda di atas pentas membuatkan konsert ini terasa begitu peribadi. Di tambah dengan gambar-gambar lama dan keratan akhbar yang ditayangkan di skrin gergasi mengimbau semula semua kenangan lalu ketika mereka semua masih di zaman anak dara.

Lebih menghangatkan konsert apabila kumpulan X-Factor muncul sebagai penyanyi undangan selepas lebih 15 tahun terpisah. Pesona kumpulan yang dianggotai oleh Danny, Fendi, Zach, Shah dan Jim itu masih belum pudar. Masing-masing masih kacak bergaya dan punya suara yang bagus.

X-Factor mendendangkan dua buah lagu iaitu 7251364 dan lagu duet bersama Elite berjudul Bertuah.

Turut diundang ialah kumpulan popular masa kini, Alpha yang berduet bersama Elite menerusi lagu Di Pintu Syurga.

Elite juga sempat menyanyikan sebuah lagu secara acapella iaitu lagu berjudul Selamat Tinggal Teman.

Menurut Abby, lagu tersebut dirakam sebelum dia meninggalkan Elite secara rasmi dan tidak pernah dipromosikan.

“Lagu ini dirakamkan sebelum saya keluar daripada kumpulan Elite. Saya pun tak tahu kenapa. Dia macam tahu-tahu saja saya nak keluar,” kongsi Abby.

Seterusnya Elite terus membuat peminat teruja dengan rangkaian lagu popular mereka seperti Trauma, G.I.G dan Tamparan Wanita. Tidak senang duduk jadinya apabila lagu-lagu ini berkumandang di Plenary Hall. Maka semua berdiri dan berdansa bersama Elite.

Konsert pada malam itu ditutup sempurna dengan lagu Manisnya Senyumanmu yang pastinya membuatkan setiap penonton yang datang melangkah keluar dengan senyuman di bibir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN