PETALING JAYA – Kehadiran kapal perang Itali mengiringi konvoi misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza bukan bertujuan mengisytiharkan perang terhadap Israel.
Pendakwah bebas, Rahmat Ikhsan atau lebih dikenali sebagai PU Rahmat berkata, kehadiran kapal perang itu bertujuan memantau dan memastikan konvoi GSF tidak diganggu atau disakiti.
“Memastikan kapal-kapal GSF Tidak dikacau, disakiti, tidak dirosakkan. Ini satu gerakan yang luar biasa oleh Itali. Syabas Itali, hormat Itali,” katanya menerusi rakaman video di muat naik di media sosial hari ini.
Terdahulu, Rahmat Ikhsan berkata, beliau dimaklumkan oleh wartawan Itali, Mikayla yang menyertai misi tersebut bahawa Itali menghantar kapal perang bersaiz sederhana.
Menurut beliau, kapal perang tersebut akan mengiringi konvoi misi kemanusiaan GSF untuk berlabuh di Mesir.
“Saya baca ada menteri di Itali mengeluarkan kenyataan yang keras dan tegas minta Israel benarkan semua kapal GSF untuk berlabuh,” katanya.
Sementara itu, Mikayla berkata, kehadiran kapal tentera dari negaranya juga disebabkan oleh tekanan politik oleh rakyat Itali.
“Apabila demonstrasi di Itali, ia satu langkah politik mengingatkan apa yang kami sedang lakukan, namun ia tetap sesuatu yang bagus,” katanya. – KOSMO! ONLINE