SEREMBAN – Seorang anggota polis didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melepaskan satu das tembakan menggunakan senjata api tanpa sebab sah, awal bulan ini.
Tertuduh, Mohd. Izzat Fitri Mohd. Hashim, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati tanpa sebab yang sah telah melepas satu das tembakan menggunakan senjata jenis Tara Aerospace TM-9C berwarna hitam kira pukul 2.30 pagi di sebuah gerai di Jalan BPS 2, Bandar Prima Senawang, Senawang di sini pada 8 September lalu.
Sehubungan itu, tertuduh telah didakwa melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 43 akta sama dan sabit kesalahan, boleh dipenjara setahun atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur Aqilah Syarfa Nik Zaidi menawarkan jaminan sebanyak RM7,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.
Peguam yang mewakili tertuduh memaklumkan anak guamnya seorang anggota polis dan duda dengan pendapatan RM1,700 sebulan dan menanggung ibu bapa yang uzur.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,500 dan kes akan disebut semula pada 25 Februari depan.- KOSMO! ONLINE