PETALING JAYA – Seorang penumpang bas ekspres diberi amaran oleh pemandu selepas dipercayai menghisap rokok di dalam pengangkutan awam tersebut.
Video kejadian itu dimuat naik oleh pemandu bas ekspres berkenaan pada TikTok Jhonlabu86 sekali gus menerima pelbagai maklum balas daripada orang ramai.
Selain merokok, penumpang tersebut mengaku telah membasuh tangan di atas lantai bas dan menyebabkan keadaan di situ basah.
“Jangan hisap rokok dalam bas bang, bas saya ada kamera bang. Jangan hisap rokok dalam bas ye. Satu bas bau rokok bang. Sampai sepah-sepah air tu, kenapa tu bang. Mana boleh basuh tangan dalam bas bang.
“Dengan abang hisap rokok lagi bang, bas saya ada CCTV (televisyen litar tertutup) bang. Abang tengok semua, saya nampak abang hisap rokok. Tu saya berhenti, abang suka-suka nak basuh kat lantai tu bang, kotor macam tu ha.
“Lepas tu hisap rokok dalam bas, aircond (penyaman udara) tu bang semua orang bau. Sekali lagi bang, ada CCTV tahu,” tegasnya.
Penumpang tersebut kemudian mengakui perbuatannya serta menerima teguran berkenaan.
Menerusi ruangan komen, pengguna media sosial turut menyebelahi pemandu bas ekspres tersebut apabila menegur perbuatan penumpang berkenaan yang mengganggu orang lain.
“Pak cik ingat naik bot ke siap basuh tangan,” komen pengguna TikTok Chenta_Mz.
“Ada lagi perangai macam tu, Allah. Mungkin dia dah puluh tahun tak naik bas kot. Dia terbayang bas macam zaman dia muda dulu kot,” kata Hafiz_zb.
“Takkan tak tahu undang-undang naik bas,” kata Shamsiah69. – KOSMO! ONLINE