BALIK PULAU – Seorang tukang masak didenda RM6,500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengajak seorang wanita melakukan hubungan seks, minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Amirulhakim Suhaimi, 30, membuat pengakuan bersalah itu selepas jurubahasa membacakan pertuduhan terhadapnya di hadapan Majistret Chia Huey Ting.
Mahkamah juga memutuskan bahawa tertuduh dikenakan penjara 10 bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan maksud hendak mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 20 tahun, telah mengajaknya melakukan hubungan seks dan mengganggu kesantunannya di dalam sebuah kedai di Commercial Square, Bayan Lepas, kira-kira pukul 9.30 pagi, 19 September lalu.
Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai lima tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, R.Lushani memohon agar tertuduh dikenakan hukuman yang setimpal dan berbentuk pengajaran memandangkan mangsa trauma dengan kejadian itu.
Peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Chew Thiam Hui yang mewakili tertuduh kemudian memohon agar mahkamah mengenakan denda yang ringan kepada tertuduh memandangkan dia bekerja sebagai tukang masak dengan gaji lebih RM1,000 sahaja. -KOSMO! ONLINE