PUTRAJAYA- Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditahan kelmarin kerana disyaki memiliki dadah dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, penjawat awam itu dibebaskan selepas tempoh reman selama tiga hari terhadapnya tamat.
“Hari ini jamin. Kertas siasatan turut dirujuk kepada TPR semalam dan masih menunggu arahan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini tadi.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang pegawai SPRM ditahan polis, di kediamannya kerana disyaki memiliki dadah.
Individu tersebut baharu sahaja melaporkan diri pada minggu lalu untuk bertugas di suruhanjaya berkenaan.
Semalam, SPRM menjelaskan akan mencadangkan kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar supaya TPR yang ditahan polis berkaitan kes dadah direhatkan daripada menjalankan tugas.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, pegawai terbabit baru sahaja melaporkan diri pada minggu lalu sebagai ‘secondment officer’ dari Jabatan Peguam Negara.
Susulan itu, katanya, tindakan segera akan diambil dengan berbincang bersama Peguam Negara serta menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE