PETALING JAYA – NexG Berhad (NexG) memperkenalkan siri naik taraf teknologi dan perkongsian global yang bakal mentransformasi pengeluaran pasport dan MyKad negara.
Inisiatif ini turut disokong oleh kontrak jangka panjang kerajaan bernilai lebih RM1.73 bilion bagi penyelesaian pasport yang akan membolehkan NexG kini mempercepat pengembangan daripada percetakan ID selamat ke platform digital dan pasaran antarabangsa.
Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan NexG, Datuk Abu Hanifah Noordin berkata, pihaknya melaksanakan pelan pengembangan dua fasa bernilai RM250 juta yang bertujuan meningkatkan kapasiti pengeluaran serta memperkasa keupayaan percetakan selamat.
Menurut beliau, bagi fasa satu ia memberi tumpuan kepada naik taraf segera fasiliti sedia ada bagi menyokong kontrak kerajaan yang baharu diperoleh untuk pasport Malaysia, selain bersedia merebut peluang pertumbuhan sektor ID selamat di dalam dan luar negara:
Tumpuan kedua adalah IXLA SRL (Itali) yang membekalkan pencetak XPRINT berasaskan laser dan pewarnaan peribadi, meningkatkan keupayaan pemperibadian pasport Malaysia dengan ukiran tepat dan ciri keselamatan warna bertaraf tinggi.
Serta Komori Corporation (Jepun) yang melibatkan pengambilalihan mesin cetak offset
keselamatan tinggi Komori Lithrone SX29, mewujudkan penanda aras baharu dalam automasi, pemeriksaan sebaris, dan percetakan selamat mesra alam.
“Inisiatif naik taraf ini bukan sahaja menggandakan kapasiti pengeluaran pasport dan memperkukuh penghasilan dokumen identiti selamat, malah meningkatkan kecekapan, keselamatan, dan teknologi secara signifikan.
“Ia juga memastikan Malaysia mampu memenuhi obligasi kontrak serta permintaan pasaran yang semakin meningkat tanpa menjejaskan kualiti dan kebolehpercayaan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Bagi fasa dua pula, ia melibatkan pembinaan fasiliti canggih baharu lengkap dengan teknologi percetakan selamat terkini, automasi, serta sistem digital bersepadu.
Setelah siap, fasiliti ini dijangka menambah tiga kali ganda kapasiti tahunan Fasa 1, sekali gus memberi Malaysia skala untuk memenuhi keperluan tempatan dan pasaran
antarabangsa.
“Kontrak ini bukan titik penamat tetapi landasan untuk mempercepatkan pengembangan,” jelas beliau.
Abu Hanifah menerangkan, dengan naik taraf fasa satu yang menggandakan pengeluaran pasport tahunan dan memperkukuh MyKad serta kad identiti lain dengan lebih cekap dan selamat manakala bagi fasa dua, ia membina fasiliti canggih, NexG akan bersedia memenuhi pasaran domestik dan antarabangsa.
Fokus kami kini meluas ke ASEAN dan Afrika iaitu rantau yang memerlukan identiti selamat dan penyelesaian digital. Disokong rekod prestasi Malaysia, NexG tekad membawa inovasi bertaraf dunia ke pentas global, jelasnya.
Melangkah daripada identiti selamat ke pemerkasaan digital, NexG memperkenalkan
MyNasional, platform utama yang diilhamkan untuk menyatukan kepercayaan ID
digital, kecerdasan AI, infrastruktur digital, serta penyelesaian digital seluruh negara.
Melalui MyNasional, NexG berhasrat menjadi Pemangkin Ekonomi Digital Malaysia yang membina asas dipercayai bagi kerajaan, perniagaan, dan rakyat berinteraksi dengan lancar dalam dunia digital. -KOSMO! ONLINE