DAHULU, selalu pemancing dapat ikan tenggalan bersaiz kasar melebihi empat kilogram (kg) seekor. Namun kini, kalau dapat sekitar sekilogram pun sudah dianggap bonus. Paling normal adalah ikan tenggalan sebesar tapak tangan akibat lampau tuai.
Pancing di tali air
Pada awalnya, kami hanya ingin memancing ikan keli Afrika yang digembar-gemburkan kewujudannya oleh rakan pancing kami, Amir. Dia memberitahu, ikan tersebut makan umpan dedak.
Kami berminat untuk mencubanya, lalu trip singkat dilakukan pada satu pagi Jumaat.
Seperti yang dijanjikan, Amir sudah pun menunggu kami bersama ayahnya di tepi jalan utama, lalu membawa kami ke tali air di Kampung Seterpa di Bachok, Kelantan.
Sebaik sahaja sampai, dua beranak itu bergegas menghampiri tebing mencari buih-buih yang selalu dihasilkan oleh ikan keli Afrika.
Beberapa minit kemudian, mereka jumpa buih-buih yang dicari. Melihat buih yang dihasilkan oleh ikan keli itu membuatkan kami lebih teruja untuk memancingnya.
Kami terus mencapai joran, sebelum pergi mendapatkan Amir yang sedang membancuh umpan. Ramuan umpan dedak yang dia buat mudah iaitu campuran dedak ikan dan kelapa parut sahaja.
Cara membancuhnya adalah dengan melembapkan dedak dengan sedikit air, kemudian meramasnya bersama kelapa parut sehingga dedak hancur, pastikan umpan tidak menjadi terlalu lembik.

Kami turut menyediakan umpan untuk ikan lampam iaitu roti dipotong dadu, kemudian dititikkan esen perasa pandan dan digaul sehingga sebati.
Sebaik sahaja umpan siap dibancuh, kami segera memasangnya pada mata kail.
Umpan terus dilabuhkan dan penantian itu tidak lama apabila joran Hafiz terlebih dahulu bergetar serta mula menunduk perlahan.
Seperti apa yang dihajatkan, ikan keli Afrika pertama telah berjaya dinaikkan. Beberapa minit kemudian, salah satu joran kepunyaan Amir pula disentap kuat, cara makan umpannya agak berbeza dengan ikan keli Afrika tadi.
Kali ini tiada getuan, sebaliknya ikan terus menyambar umpan dengan rakus.
Kami semua menanti dengan penuh debaran spesies ikan di hujung tali pancing Amir. Akhirnya tanda tanya kami terjawab, rupa-rupanya ia adalah seekor ikan tenggalan yang bersaiz ‘cantik’.
Rasa macam tak percaya pula ikan itu boleh menghuni tali air seperti ini. Selepas itu, sekali lagi ikan memilih umpan yang dilabuhkan Amir dan ikan lampam jawa pula menjadi mangsanya.
Kami terus mencuba untuk mendapatkan ikan tenggalan lagi, namun hanya yang bersaiz kecil sudi dengan umpan kami termasuk ikan lampam ekor merah, terbul dan pipi merah.
Masa untuk solat Jumaat semakin hampir, dan kami menamatkan sesi pancingan. Lain kali boleh turun lagi ke sini kerana kami tahu ada populasi ikan tenggalan di sini.














