PETALING JAYA – Syarikat perunding Zhongshe Engineering Consulting (Chongqing) Co. Ltd (ZSEC) di China ingin mengembangkan pasaran di ASEAN melalui Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, fokus utama kerjasama adalah dalam kaedah inovatif pengurusan sumber air dan kaedah sistem bekalan air mentah bersepadu (IWIS) yang dibangunkan oleh ZSEC.
“Saya berharap syarikat tersebut akan berkongsi teknologi dan kepakaran teknikal ZSEC dalam transformasi air dan tenaga di Malaysia.
“Saya menyokong cadangan kerjasama swasta Malaysia-China dalam bidang air, alam sekitar, peralihan tenaga serta infrastruktur utama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Fadillah berkata, beliau pada 21 September lalu mengunjungi syarikat berkenaan bagi memahami secara langsung kemajuan teknikal dimiliki ZSEC.
Jelas beliau, kemajuan itu dalam bidang pembinaan infrastruktur, penggunaan bersepadu sumber air bawah sungai, rawatan air modular, penyelenggaran paip bawah tanah serta projek tenaga
Kata beliau, Pengerusi ZSEC, Huang Huahua memperkenalkan secara terperinci mengenai sejarah perkembangan syarikat, budaya R&D serta strategi globalisasi kepada delegasi Malaysia.
“Saya kagum pencapaian syarikat ZSEC dalam penggunaan teknologi ‘nature-based solutions’ dan kerjasama projek antarabangsa,” katanya. – KOSMO! ONLINE