SHAH ALAM – Harga subsidi petrol RON95 yang diturunkan pada RM1.99 seliter di bawah program Budi Madani RON95 (Budi95) memberi kelegaan besar kepada pengguna, dengan penjimatan dianggarkan hampir RM200 sebulan berbanding harga pasaran tanpa subsidi.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, langkah itu membuktikan komitmen kerajaan untuk terus melindungi rakyat daripada beban kos sara hidup, terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana seperti yang diaspirasikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Perdana Menteri memang beri fokus kos sara hidup rakyat melalui Budi95 ini. Turunkan harga seperti dijanjikan kepada RM1.99 dengan harapan dapat bantu rakyat tangani kos sara hidup.
“Dalam sebulan dua ini sebenarnya harga semasa RON95 adalah antara RM2.60 ke RM2.75, jadi bila kita membeli di stesen minyak sebenarnya kerajaan dah beri subsidi agak besar.
“Kalau kita tengok dekat pam minyak harga RM2.60 penjimatan kepada rakyat hampir RM183.00 sebulan. Kalau harga RM2.75 jimat RM228.00 sebulan,” katanya ketika sesi taklimat media penyasaran subsidi RON95 di sini, hari ini.
Terdahulu, Amir Hamzah memaklumkan rakyat negara ini boleh menyemak kelayakan Budi95 bermula Khamis ini melalui laman web www.budimadani.gov.my. – KOSMO! ONLINE