SHAH ALAM – Majoriti besar pemandu di negara ini menggunakan kurang daripada 300 liter RON95 sebulan, manakala hanya 0.7 peratus pemandu melebihi jumlah itu.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, data tersebut diperoleh menerusi dapatan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan (DOSM).
“Kita yakin kebanyakan rakyat Malaysia menggunakan kurang daripada 300 liter sebulan. Insya-Allah (300 liter sebulan) cukup untuk rakyat Malaysia,” katanya ketika sesi taklimat media penyasaran subsidi RON95 di sini, hari ini.
Sementara itu, Amir Hamzah turut berkongsi gambar rajah yang menjelaskan berkaitan penggunaan sebuah kereta dan motosikal dalam tempoh 22 hari bekerja berdasarkan spesifikasi kecekapan bahan api oleh pengeluar.
Sebagai contoh secara anggaran sebuah Proton Saga bergerak 203 kilometer (km) sehari dengan memerlukan 6.7 liter setiap 100 km, menjadikan jumlah kegunaan bahan api bagi tempoh 22 hari bekerja adalah sekitar 299.22 liter. – KOSMO! ONLINE