PETALING JAYA – “Saya tiba ke rumah pukul 11 malam selepas cuti sekolah seminggu dan terkejut nampak ulat berjalan-jalan di dalam peti sejuk yang sudah berbau busuk.”
Itu kata seorang wanita yang berkongsi keadaan peti sejuk di rumahnya yang berulat akibat litar pintas selepas seminggu pulang ke kampung.
Menerusi perkongsian pengguna Threads @nursafihaa, dia memerlukan kata-kata semangat dan tips untuk menghilangkan bau busuk peti sejuk berulat itu.
“Sudahlah suami tiada di rumah sebab ‘outstation’ (berada di luar kawasan), memang semua barang dalam peti sejuk kena buang. Mengemas semua ini ambil masa 4 jam, basuh banyak kali sebab nak hilangkan bau,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, ramai pernah mengalami situasi yang sama sehingga tidak selera makan untuk beberapa hari.
“Jenuh nak hilangkan bau busuk peti sejuk, kena pakai cuka dan sabun. Boleh ikut saranan ramai untuk buang dan beli baru saja,” kata Laila.
“Waktu saya balik bercuti bulan lepas terkejut masuk rumah sebab bau busuk sangat tapi, nasib baik tiada ulat lagi. Saya memang buang peti sejuk sebab tak tahan bau busuk,” komen @syafxhh_
“Saya pernah kena peti sejuk berulat, kena bersihkan pakai tisu basah dan sabun sebab pakai kain basah nanti busuk, kena buang juga,” kata Rawiah.
“Buang semua barang, bersihkan dan letak daun pandan banyak-banyak. Jangan letak barang selagi bau tidak hilang,” komen Shahira. -KOSMO! ONLINE.