SEBERANG PERAI – Kerajaan memberi bayangan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober depan bakal memperkukuh sektor semikonduktor, sejajar matlamat Strategik Semikonduktor Nasional (NSS).
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, industri semikonduktor menjadi pemacu utama ekonomi dengan menyumbang lebih 40 peratus daripada eksport Malaysia terutama dalam segmen elektrik dan elektronik (E&E).
“Kita punya peranan bagaimana untuk merancakkan, mendalami dan menyokong perkembangan industri ini.
“Saya rasa kita akan beri penekanan lebih kepada industri-industri yang penting seperti semikonduktor dan mungkin ada berita yang bakal tunjuk komitmen kerajaan bagaimana untuk merancakkan lagi segmen ini.
“Tapi, kita tunggu nanti dan saya tak melangkaui bos saya (Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk memperincikannya,” katanya selepas mempengerusikan Program Jelajah Belanjawan 2026 Pulau Pinang di Batu Kawan, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, beliau turut mengulas mengenai cabaran tarif Amerika Syarikat terhadap industri semikonduktor negara.
Katanya, kebanyakan pemain industri di Malaysia berasal dari negara Barat dan masih kekal optimis dengan pelaburan sedia ada. – KOSMO! ONLINE