fbpx
Gambar hiasan

Tak tahan dengan ‘mulut’ suami, isteri mohon cerai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Seorang peguam syarie mendedahkan tindakan suami atau isteri yang kerap menggunakan bahasa kasar ke atas pasangan masing-masing menjadi antara punca keruntuhan rumah tangga.

Menurut peguam syarie, Fahmi Ramli, ramai suami merasakan perkataan kasar hanyalah perkara biasa dengan ada yang menganggap ia disebabkan loghat negeri atau daerah dan sudah terbiasa dari kecil.

“Penuh dengan perkataan mencarut dan makian, namun itu katanya biasa. Mereka kata bukan nak marah pun, gurau je; tersasul mulut, biasalah…; Dah terbiasa macam ni sebab asal utara kan.

“Sebenarnya tak juga, kalau nak cakap orang utara cakap kasar dan mesti ada mencarut, banyak saja yang saya jumpa orang kampung atau bandar di utara yang tak kasar,” katanya menerusi perkongsiannya di Facebook, baru-baru ini.

Katanya, ada juga mengatakan orang Melaka juga jenis yang bergurau kasar, namun rakannya dari Melaka tidak seperti itu.

“Termasuk orang Terengganu yang katanya selalu terbiasa dengan ‘natang’, tetapi kawan-kawan yang saya kenali tak macam itu pun. Entahlah, mungkin yang saya jumpa itu orang yang sentiasa bahasa tutur katanya baik kot,” ujarnya.

Namun begitu, katanya, bagi seorang isteri, kata-kata tersebut boleh menjadi luka yang lama untuk sembuh.

“Bila setiap hari telinga disumbat dengan herdikan, hinaan atau bahasa kesat, lama-kelamaan hati jadi penat dan jiwa jadi tertekan.

“Dalam rumah tangga, bukan sahaja tangan yang boleh menyakitkan tetapi lidah juga boleh meruntuhkan kasih sayang,” jelasnya.

Beliau turut berkongsi kes yang pernah dikendalikannya di sebuah Mahkamah Syariah melibatkan seorang isteri yang menuntut cerai kerana tidak tahan lagi dengan percakapan suaminya.

“Menurut keterangan, suaminya jarang sekali mengasari secara fizikal, tetapi hampir setiap hari isterinya dipanggil dengan gelaran yang menjatuhkan maruah. Katanya bodoh, tak guna, malah ada kalanya sampai mencarut.

“Bagi suami, itu hanya sekadar bahasa kampung atau kebiasaan dalam hidupnya tetapi bagi si isteri yang merupakan seorang wanita berkerjaya, setiap kata-kata itu umpama racun yang mematikan jiwa.

“Dia rasa dirinya tidak dihormati, tidak dihargai dan semakin lama hidupnya penuh tekanan,” katanya.

Tambahnya, mahkamah akhirnya meluluskan penceraian tersebut dengan sabitan syiqaq sehinggalah penceraian melalui hakam kerana terbukti kata-kata kasar itu menjadi punca pergaduhan berpanjangan seterusnynya menjejaskan kesihatan emosi si isteri.

“Pengajarannya adalah si suami mungkin rasa itu hanya biasa, tetapi bagi seorang isteri, itu boleh jadi punca keruntuhan rumah tangga. Lidah tidak bertulang, tetapi kesannya boleh lebih parah daripada pukulan.

“Rumah tangga yang harmoni bukan sekadar cukup nafkah dan makan pakai, tetapi juga hadir dengan tutur kata yang lembut, penuh hormat dan kasih sayang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN