LONDON – Kerajaan United Kingdom (UK) secara rasmi mengiktiraf negara Palestin, lapor laman berita Middle East Monitor.
Perdana Menteri Keir Starmer mengumumkan pengiktirafan tersebut hari ini menjelang Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa -Bangsa Bersatu (PBB).
“Dalam menghadapi keganasan yang semakin memuncak di rantau Asia Barat, kami bertindak untuk memastikan potensi keamanan dan penyelesaian dua negara terus hidup,” kata Starmer dalam satu kenyataan video.
Beliau berkata, ini bermakna kewujudan Israel yang selamat dan terjamin di samping negara Palestin yang berdaya maju.
“Pada masa ini, kita tidak mempunyai kedua-duanya,” tambah pemimpin berkenaan.
Pada Julai lepas, Starmer memberitahu, UK akan mengiktiraf negara Palestin pada bulan ini melainkan kerajaan Israel mengambil ‘langkah-langkah substantif’.
Pengumuman itu dibuat selepas tekanan yang semakin meningkat terhadap kerajaan Britain untuk mengumumkan pengiktirafan rasmi.
Australia dan Kanada juga mengumumkan pengiktirafan rasmi negara Palestin awal hari ini.
Sebelum ini, Perancis, Luxembourg, dan Malta mengumumkan rancangan sama untuk mengiktiraf Palestin di Perhimpunan Agung PBB.
Menjelang pengumuman itu, Timbalan Perdana Menteri David Lammy memberitahu Perbadanan Penyiaran British: “Sekarang adalah masa untuk mempertahankan penyelesaian dua negara.”
Sementara itu, kerajaan Israel melabelkan langkah UK sebagai ‘tidak masuk akal’. – AGENSI