MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ruben Amorim menggesa para pemainnya untuk berhenti meletakkan pasukan itu dalam situasi sukar selepas berjaya meraih kemenangan 2-1 ke atas Chelsea di Old Trafford awal pagi semalam.
Kemenangan itu sekali gus menyaksikan Amorim lulus ujian pertama daripada tiga perlawanan yang ‘wajib’ dimenanginya untuk terus kekal mengemudi United selepas pasukan itu berdepan prestasi awal musim yang buruk.
Perlawanan itu diwarnai layangan dua kad merah apabila penjaga gol Chelsea, Robert Sanchez menjadi penerima pertama seawal minit kelima sebelum Casemiro juga terpaksa meninggalkan perlawanan sebelum babak pertama berakhir.
United membuka tirai jaringan menerusi ketua pasukan, Bruno Fernandes selain Casemiro menghasilkan gol kedua, manakala Chelsea meraih gol saguhati menerusi tandukan Trevor Chalobah.
“Kemenangan ini sangat penting. Saya fikir kami layak untuk menang, tetapi kami sentiasa menjadikan aksi kami sebagai suatu yang rumit.
“Kami bermula dengan sangat baik dari aspek agresif dan memberi tekanan kepada lawan serta untuk menunjukkan bahawa kami berada dalam perlawanan.
“Sudah tentu insiden kad merah penjaga gol mereka membantu kami, tetapi kami berjaya mengawal perlawanan dan menjaringkan dua gol. Namun, 15 minit terakhir kami sangat sukar, mereka menjaringkan gol dan kami terpaksa berjuang untuk mempertahankan kelebihan,” katanya.
Amorim turut menuntut semua pemain United untuk kekal menampilkan keinginan untuk memenangi perlawanan pada aksi berikutnya apabila mereka akan turun menentang Brentford dalam perlawanan yang perlu mereka menangi untuk mengubah kedudukan. – AGENSI