KOTA BHARU – Polis Kelantan menggesa syarikat kurier agar meningkatkan kerjasama dengan pihak berkuasa bagi membanteras kegiatan penyeludupan dadah melalui perkhidmatan penghantaran.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, gesaan itu dibuat susulan beberapa kes rampasan melibatkan penyeludupan pil kuda menggunakan perkhidmatan kurier dikesan sebelum ini.
Menurutnya, pekerja kurier perlu lebih peka dan tidak mengambil mudah sekiranya menerima bungkusan yang mencurigakan.
“Pihak kurier diminta supaya lebih berhati- hati dan sekiranya pekerja menerima bungkusan yang mencurigakan boleh meminta ia dibuka terlebih dahulu.
“Jika timbul syak wasangka terhadap barangan pelik, segera memaklumkan kepada pihak berkuasa,” katanya ketika sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, kerjasama erat antara syarikat kurier dan polis penting bagi mengelakkan sindiket menjadikan perkhidmatan itu sebagai laluan mudah mengedar dadah.-KOSMO! ONLINE