fbpx
AZEEM (tengah) tidak beraksi di Kejohanan Dunia berlangsung di Tokyo, Jepun ketika ini kerana komitmennya bersama Universiti Auburn.

Azeem mahu tutup mulut pengkritik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PELARI terpantas negara, Muhammad Azeem Fahmi memilih untuk menjawab segala kritikan dengan prestasi larian di atas trek selepas prestasinya menjadi perbualan hangat peminat sukan tanah air sejak kebelakangan ini.

Bintang olahraga berusia 21 tahun itu tampil dengan kenyataan tegas di platform media sosial apabila menegaskan tidak peduli dengan suara-suara luar, sebaliknya mahu terus bangkit demi kejayaan diri sendiri.

“Saya tidak pernah kisah dengan segala kritikan kerana saya tahu bagaimana ia akan berakhir nanti. Saya hanya mahu berdiri untuk diri saya kali ini. Peace (aman),” tulisnya.

Kritikan mula timbul selepas ada yang mempersoalkan kemampuannya menembusi catatan bawah 10 saat (s) dalam acara 100 meter (m), meskipun pernah digelar harapan utama negara.

Bagaimanapun, statistik rasmi Olahraga Dunia (WA) membuktikan Azeem kekal dalam kelas tersendiri di Malaysia apabila menguasai 17 daripada 20 catatan terpantas 100m sepanjang zaman buat negara, termasuk rekod kebangsaan 10.09 saat (s).

Catatan bersejarah itu dirakam Azeem pada Kejohanan Remaja Dunia 2022 di Cali, Colombia sekali gus meletakkannya dalam landasan tepat untuk menjadi pelari Asia Tenggara pertama mencetak masa bawah 10s.

Selepas kejayaan tersebut, Azeem meneruskan kerjaya akademik dan latihan di Universiti Auburn, Amerika Syarikat di bawah kendalian jurulatih berpengalaman, Ken Harnden dan kini berada di ranking ke-169 dunia.

Tumpuan peminat olahraga tempatan kini terarah kepada aksi seterusnya buat pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou 2022 itu untuk kembali mencabar podium antarabangsa, sekali gus menutup mulut pengkritik yang masih meragui potensinya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN