BARU-BARU ini, penulis berpeluang merasai pengembaraan unik ke A’Famosa Safari Wonderland menaiki komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bersama 15 pelajar dari Sekolah Menengah Dato’ Md Said, Nilai, Negeri Sembilan.
Perjalanan bermula seawal pukul 6 pagi dari stesen KL Sentral ke stesen Pulau Sebang, Melaka mengambil masa hampir tiga jam.
Setibanya di stesen Pulau Sebang, para peserta disambut oleh bas Safari Wonderland yang membawa kami ke alam haiwan seluas 150 hektar itu.
Lawatan tersebut dijalankan untuk mempromosikan penggunaan Pas MyRailLife, iaitu pas perjalanan tanpa had bagi pelajar sekolah dan golongan orang kurang upaya (OKU).
Menurut Pengurus Kanan Operasi (Pengalaman Penumpang dan Sistem Tiket) Perkhidmatan Komuter KTMB, Mohd. Azhar Abu Bakar, usaha tersebut bertujuan menggalakkan penggunaan pas berkenan bagi tujuan pembelajaran di luar bilik darjah.

“Penggunaan Pas MyRailLife membolehkan guru dan pelajar ke destinasi pilihan mereka dengan meminimumkan kos perjalanan,” katanya kepada CitaRasa.
Di Safari Wonderland, para peserta menikmati pengalaman Safari Truck Ride yang membolehkan pengunjung melihat haiwan dari jarak dekat dalam suasana semula jadi.
Kami juga berpeluang melawat Crocodile Kingdom dengan terowong bawah air pertama di Malaysia serta Elephant Akuatik iaitu pameran gajah berenang pertama di negara ini.
Pertunjukan seperti Elephant In Nature, Animal Fantasy, Avian Star, Wild Wild West Show dan Raft Ride to Monkey Island turut menghiburkan.

Kesemua aktiviti lawatan sambil belajar direka untuk menghibur dan mendidik, sambil menyampaikan mesej pemuliharaan yang mudah difahami.
Menurut Pengurus Jualan Kanan A’Famosa Resort, Ng May Chern berkata, safari tersebut berkonsep terbuka iaitu pengunjung dapat melihat haiwan secara dekat seolah-olah berada di habitat semula jadi mereka.
“Kami menempatkan lebih 150 spesies haiwan, termasuk haiwan tempatan hasil kerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), serta pelbagai spesies dari Afrika, Australia, dan Madagascar.
“Antara haiwan ikonik kami termasuk gajah Asia, harimau Malaya, badak sumbu putih, tapir Malaya, orang utan Borneo, burung kuang raya, merak hijau, kanggaru, dan lemur. Koleksi ini memberi peluang kepada pengunjung melihat kepelbagaian hidupan liar dunia dalam satu destinasi,” katanya.














