MARAN – Masalah dadah di Malaysia kini berada pada tahap membimbangkan apabila seramai 134,916 penagih dan penyalahgunaan bahan terlarang itu direkodkan setakat Jun lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, angka berkenaan disifatkan sebagai ancaman besar terhadap keselamatan negara dan masa depan generasi muda.
“Dadah bukan lagi isu terpencil. Ia kini menjadi ancaman serius kepada keselamatan, kesejahteraan sosial dan kestabilan ekonomi negara.
“Angka ini sangat membimbangkan dan kita tidak boleh memandang ringan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Jelajah Pahang Teguh Dadah Terkawal (PTDT) 2025 yang disempurnakan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Bandar Tun Abdul Razak Jengka, hari ini.
Katanya, di Pahang, seramai 9,452 penagih direkodkan bersamaan 567 orang bagi setiap 100,000 penduduk dengan golongan muda berusia 15 hingga 35 tahun merupakan majoriti penagih.
“Keadaan ini memberi isyarat bahaya kepada masa depan negeri. Jika tidak dibendung segera, kita bakal kehilangan generasi yang sepatutnya menjadi tulang belakang pembangunan negara,” ujarnya.
Beliau turut menzahirkan kebimbangan dengan peningkatan penggunaan dadah sintetik seperti methamphetamine dan ketamin yang jauh lebih berbahaya kerana mudah dihasilkan dan diseludup.
Setakat ini, 53,800 klien sedang menjalani rawatan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) dan pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan, manakala 1,917 lagi menerima rawatan di pusat pemulihan persendirian. – KOSMO! ONLINE