fbpx
RAMAI pekerja asing dikesan tidak menjalani pemeriksaan kesihatan yang sebenar.

Sebar penyakit kaki gajah, TB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Taktik penipuan dalam kalangan pekerja asing yang menjalani pemeriksaan kesihatan di bawah Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA) menimbulkan kebimbangan serius apabila ia boleh membuka ruang kepada penularan penyakit berjangkit dalam masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif FOMEMA, Dr. Mohd. Afiq Farhan Md. Hanif berkata, pihaknya mengesan wujud sindiket yang menggunakan individu sihat untuk menjalani saringan bagi pihak pekerja asing yang tidak sihat.

Menurutnya, perbuatan tersebut bukan menjejaskan integriti pemeriksaan kesihatan, tetapi juga memberi kesan buruk iaitu penyebaran penyakit berjangkit kepada orang lain.

“Perbuatan ini amat berbahaya kerana mereka yang sepatutnya dirawat masih dibenarkan bekerja.

“Akibatnya, penyakit berjangkit seperti Tuberkulosis (TB), filariasis dan Hepatitis C berisiko boleh merebak kepada rakan sekerja, majikan dan juga orang awam,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Beliau berkata, setakat Januari hingga Julai lalu, lebih 1.2 juta pekerja asing telah menjalani pemeriksaan kesihatan di bawah FOMEMA bagi memastikan tahap kesihatan mereka sebelum dibenarkan bekerja di negara ini.

Dr. Mohd. Afiq berkata, pemeriksaan kesihatan itu penting untuk mengesan penyakit berjangkit, sekali gus melindungi masyarakat.

“Sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 5,228 kes penyakit berjangkit dikesan dengan Tuberkulosis paling tinggi iaitu 41.7 peratus, diikuti Filariasis (20.7 peratus) dan Hepatitis C (14.4 peratus),” katanya.

Bagi mengekang masalah itu, Dr. Mohd. Afiq menjelaskan semua keputusan pemeriksaan melalui proses yang teratur dan disahkan oleh pegawai perubatan dalaman FOMEMA.

Jelasnya, pegawai juga bertanggungjawab untukw meneliti data bagi mengenal pasti sebarang ketidakselarasan atau penemuan yang meragukan.

“Sebarang anomali, sama ada berkaitan klinikal atau identiti, akan menjalani siasatan lanjut sebelum sijil dikeluarkan. Kami juga akan memaklumkan majikan supaya mengemas kini alamat semasa pekerja asing mereka sebagai salah satu inisiatif menambah baik proses.

“Inisiatif ini dijalankan bagi memudahkan Pejabat Kesihatan Daerah menjalankan pengesanan kontak sekiranya diperlukan,” ujarnya.

Dr. Mohd. Afiq berkata, FOMEMA turut melaksanakan langkah pengesahan data dengan Jabatan Imigresen, pengesahan manual pasport asal serta penggunaan cap jari biometrik di klinik panel.

“Bagi kes yang disyaki melibatkan identiti palsu, pihak kami akan segera menyekat penghantaran keputusan pemeriksaan kesihatan tersebut kepada Jabatan Imigresen Malaysia.

“Pekerja asing terlibat kemudian dikehendaki melengkapkan proses pengesahan identiti secara dalam talian.

“Sekiranya identiti disahkan palsu, individu tersebut akan digugurkan dari­pada proses pemeriksaan ke­sihatan semasa dan diwajibkan menjalani semula pemeriksaan kesihatan FOMEMA di klinik panel lain yang ditetapkan,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN