KUALA TERENGGANU – Imej serta infrastruktur Masjid Kristal, di sini kembali pulih selepas sehari tular keadaan kolam berlumut dan struktur kayu platform tidak diselenggara.
Tinjauan Kosmo! semalam mendapati, kolam yang berlumut tersebut sudah dibersihkan, manakala penggantian baharu juga dilakukan terhadap beberapa struktur kayu yang reput sebelum ini.
Pengurus Besar Taman Tamadun Islam (TTI), Mohd. Fadhil Wahab menafikan pihaknya sengaja membiarkan Masjid Kristal yang merupakan antara monumen ikonik pelancongan Terengganu berada dalam keadaan uzur.
Sebaliknya, beliau menegaskan kerja-kerja penyelenggaraan TTI yang seluas 23 hektar sedang dilaksanakan secara berperingkat.
“Hujan lebat yang turun sejak beberapa hari sebelum ini menyebabkan air kolam tersebut menjadi kotor dan berlumut.
“Apapun kita sudah membersihkannya semalam (kelmarin). Gambar (kolam berlumut) yang tular itu berlaku sebelumnya,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Mohd. Fadhil berkata, kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan TTI termasuk di Masjid Kristal telah berlangsung sejak berakhirnya pandemik Covid-19 kira-kira tiga tahun lalu dan ia mengambil masa ekoran keluasan kawasan dan kosnya yang tinggi.
Beliau berkata, pengurusan TTI telah membelanjakan lebih RM2 juta bagi membaiki bumbung, kemudahan serta laluan pejalan kaki ke Masjid Kristal tersebut sejak 2022.
Mohd. Fadhil berkata, pengurusan TTI komited memastikan destinasi pelancongan Islam terkenal negara itu berada dalam keadaan terbaik.
Terdahulu, segelintir pengunjung Masjid Kristal pada musim cuti persekolahan ini meluahkan ketidakpuashatian mereka di media sosial berikutan beberapa fasiliti kawasan tersebut yang uzur dan tidak terjaga. -KOSMO! ONLINE