fbpx
Gambar hiasan

Bekas akauntan GISBH didakwa lagi 40 pertuduhan ubah wang haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Bekas akauantan GISBH Holdings Sdn. Bhd. (GISBH), Mohd. Khushairi Osman yang sebelum ini menghadapi 54 tuduhan didakwa lagi di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 40 tuduhan kes pengubahan wang haram berjumlah lebih RM3.8 juta.

Bagaimanpun tertuduh, Mohd. Khushairi, 54, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan oleh empat jurubahasa mahkamah secara bergilir-gilir di hadapan Hakim Azrul Darus.

“Faham… mengaku tidak bersalah,” katanya.

Bagi 15 pertuduhan, tertuduh didakwa menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM2,694,339.78 daripada akaun simpanan milik dua individu dan beberapa buah syarikat.

Wang itu dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya di sebuah bank di Taman Tun Dr. Ismail, di sini pada 2020 hingga 2024.

Sementara itu bagi 25 pertuduhan lain, tertuduh didakwa memindahkan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM1,128,173.80 daripada akaun bank simpanannya kepada akaun beberapa syarikat dan individu pada tempat dan masa sama.

Bagi semua pertuduhan itu, Mohd. Khushairi didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Sangari Ponnan mencadangkan jaminan RM5,000 bagi setiap tuduhan berserta syarat tambahan iaitu melaporkan diri di Bahagian AMLA Polis Diraja Malaysia Bukit Aman sebulan sekali sehingga kes selesai.

“Syarat tambahan lain, pendakwaan memohon perintah supaya tertuduh tidak mengganggu saksi dan perlu melaporkan kepada pihak pendakwaan jika berlaku sebarang perubahan  alamat kediamannya,” katanya.

Peguam Datuk Rosli Kamaruddin bagaimanapun memohon mahkamah mengguna pakai jaminan sebelum ini yang dibuat di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Hakim Azrul membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kesemua 40 pertuduhan dan membenarkan syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan. Mahkamah menetapkan 13 November ini bagi sebutan kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI