PETALING JAYA – Sindiket warga asing semakin licik memperdayakan pihak klinik apabila menghantar ‘orang sihat’ bagi mendapatkan dokumen Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA).
Individu terbabit akan menggantikan pekerja asing yang berpenyakit untuk melepasi ujian kesihatan dengan upah antara RM600 hingga RM1,000.
Mereka akan menggunakan pasport dan biodata palsu, malah ada yang mengubah penampilan supaya menyerupai gambar seperti dalam pasport.
Tanpa dokumen FOMEMA yang diperoleh daripada klinik-klinik panel, warga asing tidak boleh memohon untuk berada atau terus bekerja di negara ini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, sindiket yang dianggotai warga asing itu menyasarkan pekerja asing dengan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang perlu dilanjutkan pada setiap tahun.
Katanya, mereka menawarkan khidmat penyediaan dokumen FOMEMA kepada pekerja asing yang bimbang tidak dapat melepasi pemeriksaan atas faktor kesihatan seperti menghidap filariasis dan Hepatitis C.
Filariasis (penyakit untut atau kaki gajah) ialah sejenis penyakit berjangkit yang merebak melalui gigitan nyamuk yang membawa larva cacing.
“Sindiket akan menghantar individu yang sihat bagi mendapatkan keputusan saringan kesihatan yang positif dan seterusnya layak membuat lanjutan PLKS.
“Keputusan itu akan dimasukkan ke Sistem Pemeriksaan FOMEMA yang dihubungkan dengan Sistem Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk proses permohonan lanjutan PLKS,” katanya kepada Kosmo!.
Menurutnya, kegiatan itu membawa risiko penularan penyakit berjangkit di negara ini selain menjejaskan perbelanjaan negara dari segi pertambahan kos rawatan dan kawalan penyakit di hospital-hospital awam.
Jelasnya, pekerja yang tidak sihat, tetapi ‘lulus’ FOMEMA juga akan mengurangkan tahap produktiviti tenaga kerja.
“Ia secara tidak langsung akan membawa kesan terhadap kecekapan sektor pembinaan, perladangan dan perkilangan yang banyak bergantung kepada buruh asing,” katanya.
Menurutnya, sindiket terbabit turut menjual pasport palsu kepada warga asing dari Bangladesh, Nepal, India dan Indonesia yang tidak memiliki dokumen perjalanan atas sebab-sebab tertentu pada harga RM1,000 hingga RM1,500.
“Sindiket akan mengubah suai pasport-pasport tulen menyerupai pasport asal mengikut negara asal pelanggan,” katanya.
Tambahnya, berdasarkan statistik, JIM merekodkan 10 tangkapan bagi kes sindiket pasport palsu bagi tahun 2023 dan kes meningkat sebanyak 57 pada tahun lalu.
Bagi kes sindiket penipuan dokumen FOMEMA pula, Zakaria berkata, sebanyak 22 jumlah tangkapan direkodkan sepanjang tahun lalu.
Pelaku yang terlibat memalsukan pasport dan biodata boleh berdepan tindakan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Akta Akta
Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil 2001.
“Mereka juga boleh dikenakan tindakan pentadbiran seperti pembatalan pas, diusir ke negara asal dan dihalang daripada mendapat apa-apa kemudahan imigresen di masa hadapan,” katanya.














