KOTA BHARU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengesan kenderaan berat yang membawa muatan bahan binaan seperti pasir dan balak paling banyak bergerak di atas jalan raya di negeri ini.
Pengarahnya, Mohd. Misuari Abdullah berkata, maklumat tersebut diperoleh semasa pihaknya menjalankan Ops Khas Gempur Kenderaan Perdagangan baru-baru ini.
Menurutnya, bahan binaan yang dibawa kebanyakan lori atau kenderaan berat di Kelantan antaranya batu, pasir, balak dan tanah.
“Bahan-bahan itu dibawa kenderaan berat menerusi pemeriksaan di Stesen Penguat Kuasa JPJ di Gua Musang, Bukit Jawa (Pasir Puteh), JPJ Laloh (Kuala Krai) dan Bukit Bunga (Tanah Merah).
“Selain itu, kenderaan tersebut turut dikesan melakukan kesalahan dengan membawa muatan bahan mentah, bijih besi dan batu bongkah melebihi had muatan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Sambutan Maulidur Rasul dan Majlis Bersara Timbalan Pengarah JPJ Kelantan, Mohamad Apandi Jusoh di JPJ Kelantan di sini hari ini.
Mohd. Misuari memberitahu, sebanyak 13 kes kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Darat (APAD) 2010 dilakukan oleh pemandu kenderaan berat pada Januari hingga Ogos tahun ini berbanding 16 kes dalam tempoh sama pada tahun lalu.
Beliau berkata, dalam operasi yang sama, JPJ turut mengesan sebanyak 1,080 kes pelbagai kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Jumlah kompaun yang dikutip pula sebanyak RM126,000 sepanjang tempoh lapan bulan dan RM58,000 pada tahun lalu.
“Berlaku pengurangan jumlah kenderaan berat yang membawa muatan melebihi had pada tahun ini hasil kempen kesedaran menerusi advokasi dan operasi secara konsisten dijalankan JPJ,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE