Bagi kaki pancing, sebut sahaja nama Empangan Bang Lang, pasti terbayang kelibat sebarau yang rakus menyambar gewang. Baru-baru ini, saya bersama sekumpulan rakan memulakan ekspedisi selama tiga hari dua malam di sana. Ia merupakan satu pengalaman yang cukup berharga untuk dikongsikan.
Perjalanan kami bermula awal pagi dari Kuala Lumpur. Selepas lima jam pemanduan, laluan melalui Bentong membawa kami terus ke Pengkalan Hulu, Perak iaitu pintu sempadan yang menghubungkan Malaysia dengan Thailand.
Selesai urusan imigresen, kami teruskan perjalanan menuju ke pekan terdekat untuk membeli barangan keperluan, sebelum menyambung perjalanan selama satu jam untuk sampai ke Empangan Bang Lang.
Sepanjang perjalanan, mata dijamu dengan suasana perkampungan permai, ada kampung penduduknya beragama Islam dan ada yang bukan. Suasana damai dengan sawah padi dan bukit-bukau menghijau benar-benar menenangkan hati.
Mengenali Empangan Bang Lang
Ia merupakan empangan yang dibina di Sungai Pattani pada tahun 1981 bagi tujuan kawalan banjir, penjanaan elektrik dan sumber bekalan air. Di sekeliling empangan ini ada kawasan perkampungan bercampur dengan hutan tropika yang masih terpelihara.
Bagi kaki pancing, tasik ini dihuni pelbagai spesies ikan seperti toman, lampam, kaloi, belida dan baung. Namun, tarikan utama di empangan ini sudah tentulah ikan sebarau, ‘serigala’ air tawar yang terkenal dengan pecutan deras dan kekuatannya.
Kedai 7 Elephant
Kami menginap di sebuah rumah rakit yang terletak lebih kurang 30 minit dari jeti utama. Ia cukup selesa, lengkap dengan ruang tidur, dapur ringkas dan pemandangan tasik yang luas terbentang.

Betul-betul bersebelahan jeti pula terdapat sebuah kedai yang dinamakan ‘7 Elephant’. Di sinilah tempat kaki pancing menambah stok peralatan memancing seperti gewang, membeli makanan ringan atau melepas dahaga sebelum turun memancing.
Hari pertama agak mendebarkan, seawal petang kami sudah mula melempar gewang, namun hanya selepas pukul 6 petang, barulah ikan sudi dengan gelekan gewang.
Debaran menunggu akhirnya terbalas apabila sebarau mula menyambar gewang bilah besi (blade) yang digunakan.
Gewang jenis ini ternyata lebih efektif berbanding gewang jenis topwater ketika trip kami.
Gewang topwater sebenarnya ada tarikannya sendiri, tetapi kali ini ia kurang menjadi. Namun bagi yang sabar, hasilnya tetap lumayan kerana saiz ikan yang menyambar di permukaan selalunya bukan calang-calang.
Cuaca dan gewang berbisa
Hari kedua disambut dengan cuaca berangin dan hujan renyai-renyai. Suasana agak mencabar kerana bot sering terhuyung-hayang dilambung ombak yang terhasil daripada deruan angin. Namun keadaan ini langsung tidak mematahkan semangat kami.
Ikan sebarau tetap mendominasi tangkapan kami. Gewang jenis blade sekali lagi membuktikan keampuhannya.
Rahsianya terletak pada getaran halus dan renangan yang realistik menyerupai ikan kecil iaitu makanan utama sebarau di sini.
Sebarau yang terkenal sebagai pemburu ganas mudah tergoda dengan aksi bergetar yang agresif tersebut. Teknik menggayakan gewang blade pula tidak terhad kepada satu cara sahaja. Ada yang sekadar dikarau terus dengan kelajuan sederhana, ada yang memilih karauan laju untuk mencetuskan reaksi sambaran. Ada juga yang lebih gemar menggunakan teknik lift and drop iaitu mengangkat gewang ke atas kemudian membiarkannya jatuh semula ke dasar.

Setiap kali gewang jatuh dan dikarau perlahan, getarannya cukup untuk menarik perhatian ikan sebarau yang menunggu di celah reba kayu mati dan cerunan yang dalam (drop-off).
Setiap kali gewang tenggelam ke dasar dan dikarau perlahan, tidak lama selepas itu pasti ada sambaran mengejut. Detik tali pancing menegang, joran melentur dan drag kekili ‘meraung’ benar-benar membuatkan adrenalin memuncak.
Penutup singkat
Hari ketiga kami mengilat hanya separuh hari sahaja. Kami gunakan kesempatan ini untuk mengulangi beberapa lokasi yang memberikan hasil pada hari sebelumnya. Walaupun masa agak singkat, namun beberapa strike sempat juga direkodkan sebagai penutup trip.
Satu perkara yang tidak boleh dilupakan adalah layanan daripada pihak penganjur trip dan tekong-tekong tempatan. Mereka bukan sahaja mahir membaca tempat ikan, malah sangat mesra dan sedia membantu. Dari susun atur jadual memancing, penyediaan rumah rakit sehinggalah ke soal keselamatan, semuanya diuruskan dengan baik.
Empangan ini amat terkenal sebagai syurga gewang topwater untuk sebarau, namun trip kali ini kadar strike untuk gewang jenis tersebut sangat rendah.
Berkemungkinan besar ikan sebarau ketika trip kami amat culas untuk bermain di perimeter permukaan air. Nasib baik alternatif bertukar kepada gewang jenis blade menjadi penyelamat.
Selain teknik dan gewang, peranan tekong juga sangat penting. Pengalaman mereka membaca cuaca, mengenal lubuk dan meneka tingkah laku ikan banyak membantu menentukan sama ada sesuatu lokasi itu berpotensi atau tidak. Tanpa tunjuk ajar tekong, mungkin ramai pulang tangan kosong.
Ringkasnya, Empangan Bang Lang ini tetap menjadi ‘padang’ pancing yang berbaloi untuk diterokai. Sama ada anda pengilat gewang topwater yang mahu merasai hentaman padu di permukaan air atau peminat gewang jenis blade dengan pelbagai gaya karauan. Ia sebenarnya bukan sekadar hasil tangkapan, tetapi pengalaman penuh cabaran, teknik pancingan, suasana alam dan kerjasama pasukan.














