fbpx
Syarikat Gemilang Coachwork yang telah mengharumkan nama negara itu berpangkalan di Johor.

Bas elektrik anak Malaysia ‘mendunia’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ERA moden masa kini menyaksikan pelbagai teknologi canggih dibangunkan dengan pesat seiring impian dan agenda kelestarian gaya hidup pintar.

Salah satunya ialah penggunaan bas elektrik yang kini semakin mendapat perhatian sekali gus dilihat sebagai alternatif pengangkutan mesra alam.

Teknologi itu bukan satu pemandangan asing di tanah air sementelah ia sudah digunakan di Selangor dan Sarawak.

Namun, ramai mungkin menyangka bas tersebut dihasilkan di luar negara, sedangkan hakikatnya ia merupakan hasil keluaran syarikat tempatan, Gemilang Coachwork Sdn. Bhd.

Syarikat tersebut bukan sahaja berjaya menghasilkan bas elektrik untuk kegunaan lokal, malah berjaya menembusi pasaran antarabangsa meliputi 15 negara.

Kata Pengarah Eksekutifnya, Pang Jun Jie, syarikat yang berpangkalan di Johor itu memiliki kepakaran dalam reka bentuk dan pembuatan badan bas yang merangkumi sistem bateri,

Bergantung kepada keperluan pelanggan, pihaknya turut menyenaraikan cadangan terhadap model casis (rangka asas) berdasarkan keperluan laluan dan kapasiti penumpang.

“Setelah casis disahkan, pasukan kami akan mereka bentuk dan membina badan bas mengikut kesesuaian tetapi mementingkan keselamatan, ketahanan dan keselesaan penumpang.

“Setiap unit akan melalui proses pemeriksaan keselamatan ketat sebelum dihantar ke 15 negara antaranya Singapura, Hong Kong, New Zealand, Australia, Amerika Syarikat dan Emiriyah Arab Bersatu.

“Kami amat memberi tumpuan kepada pembangunan bahan yang ringan, tetapi tahan lasak untuk meningkatkan kecekapan tenaga tanpa menjejaskan kekuatan struktur,” katanya kepada K-Tekno.

Bukti kekukuhan binaan bas adalah apabila medium pengangkutan berkenaan mampu membawa beban bateri sehingga berat 3 tan pada bahagian bumbung.

Kejayaan tersebut membuatkan syarikat anak tempatan itu berjaya memastikan integriti struktur tidak terjejas walaupun membawa bebanan yang berat sehingga tidak menjejaskan kemampuan bas di atas jalan raya.

Bagai membawa Jalur Gemilang ke persada dunia, itulah yang telah dilakar Gemilang Coachwork.

Sebuah bas elektrik syarikat tersebut yang digunakan di New Zealand.

Bukan hanya fokus kepada binaan reka bentuk, Gemilang Coachwork turut memperkukuh keupayaan kejuruteraan elektrik dengan melengkapkan kemudahan bas menggunakan teknologi canggih seperti ADAS (Sistem Bantuan Pemandu Lanjutan), CCTV (kamera litar tertutup), Wi-Fi, port pengecas USB dan ciri elektronik lain bagi membantu meningkatkan keselamatan penumpang.

Bas elektrik itu turut dilengkapi dengan sistem telematik pintar untuk pemantauan ‘kesihatan’ kenderaan dan prestasi bateri secara masa nyata selain reka bentuk lantai rendah untuk kemudahan akses.

Kepakaran yang dimiliki syarikat tersebut dalam rekaan dan penciptaan bas elektrik dipercayai mendorong negara-negara luar termasuk kalangan negara-negara maju mendapatkan bas elektrik keluaran syarikat itu.

Jelas Jun Jie, badan bas direka bentuk dan dihasilkan di Malaysia, manakala casis yang merangkumi sistem bateri serta pacuan (enjin) bagi model pasaran tempatan lazimnya diimport dalam bentuk CKD (completely knocked down) sebelum dipasang oleh mereka di sini.

“Garis masa pembinaan sesebuah bas bergantung kepada peringkat pengeluaran sebagai contoh prototaip baharu biasanya mengambil masa sekitar 9 hingga 12 bulan kerana perlu melalui proses pembuatan acuan dan pembangunan.

“Setelah reka bentuk ditetapkan, kami memerlukan tiga hingga empat bulan membina bas tersebut. Sekiranya bahan binaan sudah tersedia, kami boleh menyiapkan satu unit dalam tempoh kurang daripada satu bulan untuk pengeluaran bersiri (pesanan banyak),” katanya.

Memandangkan bas tersebut memerlukan tenaga daripada sumber elektrik untuk bergerak, maka proses pengecas memainkan peranan penting dan bergantung kepada teknologi casis bagi memastikan perjalanan berjalan lancar.

Pada masa kini, kebanyakan bas elektrik dilengkapi dengan keupayaan pengesan DC (arus terus) yang mana memberi keupayaan pengisian bateri jauh lebih pantas berbanding pengecas AC (arus ulang-alik).

Bagaimanapun, ia bergantung kepada jenis pengecas digunakan.

Ini kerana lebih tinggi output pengecasan, maka akan lebih mahal kos pengecasan dan ketersediaan elektrik di depoh juga perlu diambil kira kerana kos penaiktarafan grid boleh menjadi tinggi.

“Disebabkan itu disarankan agar pengendali jalankan penilaian menyeluruh sebelum memasang infrastruktur pengecasan bagi memastikan kesesuaian, kecakapan dan keberkesanan kos.

“Spesifikasi bateri akan menentukan jarak perjalanan yang disesuaikan dengan keperluan operasi pelanggan sama ada digunakan sebagai bas bandar atau laluan antara bandar.

“Bagi bas bandar jarak biasa sekitar 300 kilometer dengan sekali cas yang secara am mencukupi untuk satu hari operasi penuh,” katanya.

Bagaimanapun Jun Jie tidak menafikan masih wujud kebimbangan mengenai jarak dan operasi yang perlu ditangani terutama di Malaysia kerana kenderaan sebegini masih belum diuji dan diperhatikan mengikut kesesuaian keadaan tempatan.

Bukan sahaja memfokuskan kepada binaan badan bas, Gemilang Coachwork juga sangat menitikberatkan soal sistem elektrik dan bateri. Bas mereka menggunakan bateri yang mematuhi pensijilan UN ECE R100 iaitu satu keperluan wajib ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Ini bermaksud bateri tersebut telah menjalani ujian yang menyeluruh dan selamat digunakan dalam pelbagai keadaan, termasuk hentakan dan suhu yang melampau.

“Badan bas turut diperbuat bahan kalis api seperti panel aluminium, lantai berasaskan resin fenolik dan bahan penebat kalis api bagi meningkatkan lagi keselamatan penumpang serta meminimumkan risiko kebakaran,” ujarnya.

Langkah berjaga-jaga itu membuktikan pihak mereka optimis dalam memastikan keselamatan penumpang dan kelestarian alam terpelihara.

Dengan menggantikan bas diesel dengan bas elektrik, langkah itu dapat membantu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan pencemaran udara.

“Setiap bas elektrik yang beroperasi di jalan raya menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon dan membawa Malaysia selangkah lebih dekat ke arah mencapai matlamat neutral karbon 2050. Tetapi perlu diambil kira juga tentang sumber tenaga yang digunakan untuk pengecasan sama ada daripada bahan api fosil atau tenaga boleh diperbaharui.

“Segala tindak tanduk akan menentukan kesan kepada alam sekitar sepenuhnya,” katanya.

Bukan sahaja memelihara ekosistem, bas elektrik juga kebiasaannya memerlukan penyelenggaraan lebih minimum berbanding kos bahan api.

Walaupun pelaburan awal dilihat lebih tinggi kerana difahamkan anggaran harga sebiji bas elektrik (standard) di Malaysia mampu mencecah RM1 juta ke RM3 juta bergantung spesifikasi, namun kos operasi boleh dikurangkan sepanjang hayat kenderaan.

“Bas elektrik boleh menjadi lebih jimat untuk dikendalikan dalam jangka masa panjang terutama dari segi tenaga dan penyelenggaraan. Bas elektrik secara umumnya memerlukan penyelenggaraan yang lebih rendah berbanding bas diesel kerana ia mempunyai kurang bahagian bergerak seperti tiada minyak enjin, transmisi atau sistem ekzos.

“Namun, kemahiran juruteknik yang mahir amat diperlukan untuk menguruskan sistem elektrik dan bateri,” katanya.

Sempena meraikan sambutan Hari Malaysia hari ini, Gemilang Coachwork mengharapkan agar lebih banyak kesedaran dan penerimaan awal terhadap bas elektrik sebagai pengangkutan yang bersih, selesa dan boleh dipercayai di negara ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN