fbpx
TARIKAN utama di restoran ini ialah kari rusuk kambing yang dimakan bersama capati.

Olahan capati dengan kari rusuk kambing, capati Hollywood

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JIKA nasi terlalu berat untuk santapan malam, capati boleh dijadikan sebagai pilihan untuk mengisi perut tanpa rasa bersalah.

Tambahan pula, dicecah dengan kari kambing yang dimasak dengan resipi dari Utara ia merupakan kombinasi yang memikat selera.

Bagi mereka yang mencari hidangan capati autentik, restoran Chapati Rusuk Kambing Afghanistan boleh menjadi antara lokasi tujuan.

Terletak di Setia Alam, Selangor, restoran ini dikendalikan oleh Abdussalam Idris, 37, yang sangat meminati perniagaan kedai makan sejak kecil lagi.

Bagi Abdussalam, dunia masakan bukanlah sesuatu yang asing, dari kecil dia dibesarkan dalam suasana kedai makan milik ibu dan bapanya.

“Masa kecil saya dipaksa buat capati, dulu memang malas sampai kena rotan tetapi sebab kena tolong keluarga saya belajar dan tolong juga buat capati.

“Namun, tanpa saya sedar pengalaman itu kini menjadi sumber rezeki dan resipi capati yang digunakan hari ini adalah warisan turun-temurun daripada arwah datuk seterusnya kepada ibu dan saya,” katanya ketika ditemu bual CitaRasa di restoran Chapati Rusuk Kambing Afghanistan, Setia Alam, Selangor baru-baru ini.

ABDUSSALAM mengusahakan restoran Chapati Rusuk Kambing Afghanistan di Setia Alam, Selangor sejak setahun yang lalu. – SADDAM YUSOF

Tambahnya, tepung capati yang digunakan bukan sebarang tepung, ia diimport dari Mumbai India untuk memastikan kesegaran dan tekstur yang lembut.

Abdussalam akan memastikan tepung sentiasa baru kerana itu rahsia capati yang lembut.

Kongsinya lagi, nama ‘Afghanistan’ pada restoran ini sebenarnya sekadar jenama mudah diingat, bukan menggambarkan asal masakan.

Menu yang ditawarkan lebih kepada kepelbagaian rempah tempatan hasil adunan tangan Abdussalam sendiri.

“Antara yang menjadi tarikan utama ialah kari rusuk kambing, resipi asalnya tanpa santan atau perasa tambahan, namun diolah sedikit agar sesuai dengan selera masyarakat tempatan.

“Idea menghidangkan capati bersama rusuk kambing muncul semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya bereksperimen memotong kambing dengan mesin sendiri selepas menonton video tentang lamb rack,” ujarnya.

TERDAPAT pelbagai capati unik yang ditawarkan termasuk capati Hollywood yang kelihatan seperti kebab atau wrap.

Katanya lagi, dari situ, lahirlah kombinasi unik capati dengan rusuk kambing. Restoran ini turut mengetengahkan pelbagai variasi capati. Bermula sejak 1997 bersama arwah ayahnya, mereka memperkenalkan kelainan seperti capati telur, capati keju sehingga wujudnya menu popular seperti capati Bollywood (dengan telur, keju dan sayur) serta capati Hollywood seperti kebab atau wrap dengan ayam atau daging kisar yang dipanggang. Bagi kuah cicah pula, selain rusuk kambing, pelanggan boleh memilih kambing biasa, lamb shank, daging cincang atau sardin.

Selain capati, menu lain yang ditawarkan ialah nasi arab, nasi mandy, nasi daging air asam serta sup kambing.

“Nasi arab yang disediakan pula berinspirasikan pengalaman saya sendiri semasa menunaikan umrah di Mekah.

“Saya menekankan kualiti sebagai keutamaan. Harga juga mesra pelanggan bermula RM2 untuk sekeping capati,” jelasnya.

Menjelang 2026, dia menyasarkan pembukaan dua cawangan baharu di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN