NEW YORK – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump hari ini mengumumkan bahawa seorang suspek telah ditahan berhubung pembunuhan seorang penyokong kuatnya, Charlie Kirk selepas operasi memburu besar-besaran dilakukan oleh pihak berkuasa.
“Seseorang yang sangat rapat dengannya (suspek) menyerahkannya (kepada polis),” kata Trump kepada Fox News dalam satu temu bual secara langsung di studio.
“Orang itu terlibat dengan penguatkuasaan undang-undang membawanya kepada seorang anggota Marsyal yang sangat hebat.
“Mereka memandu ke ibu pejabat polis, dan dia berada di sana sekarang.
“Kami mempunyai individu yang kami percaya adalah orang yang kami cari,” tambahnya lagi.
Penembak itu melepaskan satu das tembakan yang mengorbankan Kirk, seorang lelaki berusia 31 tahun yang menggerakkan sokongan anak muda untuk Trump semasa berucap di sebuah universiti di Utah kelmarin.
Ratusan ejen daripada 20 agensi penguatkuasaan undang-undang terlibat dalam operasi memburu tersebut.
Imej yang dikeluarkan semalam menunjukkan seorang lelaki memakai kasut, topi besbol hitam, cermin mata hitam gelap dan dipercayai berseluar jean dengan baju lengan panjang yang tertera reka bentuk termasuk bendera Amerika.
Polis berkata mereka percaya penembak itu melepaskan tembakan dari atas bumbung pada jarak sehingga 180 meter mengenai leher Kirk.
Rakaman video menunjukkan kelibat seseorang berlari di atas bumbung universiti itu kemudian melompat ke tanah dan melarikan diri dari kampus menuju ke kawasan pokok, dipercayai lokasi di mana sebuah raifal ditemui. – AFP