fbpx
Pelbagai acara diadakan sempena Pesta Pantai Bagan Lalang.

Pesta Pantai Bagan Lalang kembali meriahkan Tahun Melawat Selangor 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANG – Pesta Pantai Bagan Lalang kembali lagi dengan pengisian lebih meriah yang akan diadakan pada 20 dan 21 September ini, sekali gus menjadi acara kemuncak sempena Tahun Melawat Selangor 2025.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Dr. Ani Ahmad berkata, pesta dwitahunan itu bukan sahaja mengukuhkan hubungan masyarakat dengan pihak berkuasa tempatan, malah berperanan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi sekitar.

“Penganjuran kali ini mengambil tema Tahun Melawat Selangor 2025 yang memberi tumpuan kepada usaha mengetengahkan destinasi pelancongan menarik di negeri ini.

“Pesta ini diharap dapat menarik lebih ramai pelancong, bukan sahaja dari Selangor, malah dari seluruh negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, pelbagai acara bakal mewarnai sambutan termasuk persembahan kebudayaan, sukan rakyat, jualan Ehsan Rakyat, pertandingan memasak, persembahan artis tempatan serta cabutan bertuah.

Turut diatur, aktiviti mesra keluarga seperti permainan pantai dan pameran komuniti yang diyakini mampu memberi pengalaman lebih menarik kepada pengunjung.

Dr. Ani berkata, acara itu menjadi medium terbaik memperkenalkan Bagan Lalang sebagai tarikan pelancongan yang kaya dengan keindahan alam semula jadi dan terkenal dengan suasana pantainya.

“Justeru, saya menjemput seluruh warga Sepang dan rakyat Malaysia khasnya untuk hadir beramai-ramai memeriahkan Pesta Pantai Bagan Lalang 2025.

“Sokongan masyarakat amat penting bagi memastikan kejayaan penganjuran ini. Jumpa anda di sana,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN