fbpx
Insiden kekecohan yang berlaku di Kampung Sungai Baru. Foto IHSAN IPK KL

Insiden Kampung Sungai Baru bukti PSB perlu disemak semula – MCA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Insiden ganas semasa operasi pengosongan di Kampung Sungai Baru semalam membuktikan keperluan mendesak untuk menyemak semula Rang Undang‑Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB).

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng berkata, akta tersebut perlu disemak dengan lebih teliti supaya hak penduduk atau pemilik hartanah daripada segi tempat tinggal, perancangan pembangunan serta kepentingan ekonomi mereka dilindungi.

“Jika tidak, perhimpunan dan konflik seperti ini dikhuatiri akan terus berulang. PSB melibatkan isu kehidupan rakyat dan kepentingan awam.

“Kerajaan perlu memastikan adanya mekanisme komunikasi dan libat urus yang mencukupi dalam proses pembangunan negara agar suara rakyat tidak diabaikan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Terdahulu, Jeck Seng berkata, insiden Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman cedera akibat dibaling objek ketika menjalankan tugas amat dikesali.

Ujar beliau, tindakan sedemikian bukan sahaja mengganggu ketenteraman awam dan melanggar undang-undang, malah satu bentuk provokasi terhadap pasukan penguatkuasaan dan harus dikutuk sekeras-kerasnya.

Kata beliau, hak rakyat untuk berhimpun secara aman dan menyuarakan pendapat termaktub dalam Perlembagaan Negara, namun peserta mesti mematuhi undang-undang dan tidak bertindak melampau.

Tambah beliau, serangan terhadap penjawat awam, khususnya polis yang sedang menjalankan tugas adalah perbuatan tidak bertamadun dan tidak boleh diterima.

“Ketua Polis Negara dan pihak berkuasa berkaitan hendaklah segera menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengesan dalang di sebalik insiden tersebut dan mengambil tindakan tegas,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI