fbpx
Lokasi kejadian dua mangsa ditemui maut.

‘Mangsa jerit minta tolong, ada orang kena tikam’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

YAN – “Isteri saya nampak ada orang bergelut tidak jauh dari rumah sebelum mendengar jeritan lelaki meminta tolong sambil beritahu ada orang kena tikam”.

Itu kata penduduk, Fathi Kamil Khazali, 40, mengenai kejadian dua mangsa yang maut ditikam tidak jauh dari rumahnya di Taman Nona di Guar Chempedak, di sini malam tadi.

Katanya, ketika kejadian, dia sekeluarga baru sampai di rumah selepas membeli barang keperluan.

“Waktu itu saya dan isteri sedang memindahkan barangan yang dibeli dari dalam kereta ke dalam rumah. Tiba-tiba isteri panggil saya dan beritahu ada orang kena tikam.

“Saya keluar dan terus minta isteri masuk ke dalam rumah, takut suspek serang kami pula. Saya kemudian tengok dari jauh dan nampak ada sebuah kereta keluar dari lokasi itu sebelum lihat seorang lelaki rebah di atas jalan,” katanya ketika ditemui di sini awal pagi ini.

Menurutnya, dia terus menghubungi polis dan ambulans sebelum pergi ke lokasi kejadian dan mendapati lelaki terbabit sudah tidak bergerak.

“Saya pergi ke kereta Proton Wira yang diletakkan di hadapan sebuah rumah di situ dan terkejut apabila mendapati ada seorang perempuan dalam keadaan berlumuran darah di tempat duduk penumpang hadapan.

“Keadaan wanita itu mengiring ke sebelah tempat duduk pemandu. Saya tak nampak dengan jelas kecederaan kerana hanya tengok dari luar,” ujarnya.

Katanya, dia tidak mengenali dua individu terbabit dan mereka dipercayai bukan penduduk di kawasan perumahan itu.

“Saya dan isteri tak nampak wajah pelaku (suspek), cuma isteri kata dia hanya nampak ada dua orang bergelut sebelum salah seorang daripadanya menjerit meminta tolong.

“Semasa kejadian juga hujan lebat menyebabkan penglihatan kami kurang jelas. Jarak saya dengan lokasi ketika kejadian berlaku adalah kira-kira 20 meter,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN