LIVERPOOL – Bekas pemain Liverpool, Jermain Pennant mengakui The Reds ‘untung besar’ kerana berjaya mendapatkan Alexander Isak yang dipercayai penyerang terbaik dunia ketika ini.
Menurut Pennant, kualiti pemain antarabangsa Sweden itu sukar untuk disangkal dan jauh lebih baik berbanding penyerang Bayern Munich, Harry Kane atau penggempur Manchester City, Erling Haaland.
“Saya lebih mahu melihat Isak bersama Liverpool berbanding Kane atau Haaland. Sebelum ini ketika bersama Tottenham Hotspur, kita boleh katakan Kane adalah penyerang terbaik tetapi sekarang tidak lagi.
“Haaland pulak konsisten dan saya optimis Isak layak dilabel sebagai penggempur terbaik. Kita hanya perlu berikan dia masa untuk dapatkan semula kecergasannya sebelum meledak bersama Liverpool,” katanya.
Sebagai rekod, Liverpool selaku juara Liga Perdana Inggeris musim lalu itu melengkapkan perpindahan Isak sebanyak £130 juta (RM742.84 juta) termasuk bayaran bonus sekali gus memecahkan rekod perpindahan British.
Bekas pemain Newcastle United itu menandatangani kontrak selama enam tahun di Anfield sekali gus menyaksikan Liverpool sudah berbelanja sebanyak £416.2 juta (RM2.38 bilion) dengan membawa masuk beberapa pemain baharu.
Isak yang kini berusia 26 tahun telah menjalani sesi latihan bersama skuad kendalian Arne Slot buat kali pertama semalam setelah selesai tugasan antarabangsa bersama Sweden dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026, baru-baru ini. – AGENSI















