PAPAR – Barisan peguam berpuas hati dengan cara demostrasi termasuk jatuhan dua patung berisi air yang dijalankan dalam prosiding inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir sebelum beredar meninggalkan pekarangan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha kira-kira jam 11.49 pagi tadi.
Rombongan berkenaan dipercayai selesai membuat lawatan dan demonstrasi berhubung inkues remaja perempuan terbabit.
Peguam Datuk Ram Singh dan Joan Goh yang mewakili lima suspek dalam kes buli Zara memberitahu pemberita bahawa tiga patung digunakan untuk menunjukkan bagaimana kejadian itu mungkin berlaku dari pelbagai sudut termasuk dari tingkat tiga blok asrama.
Ram berkata pasukannya berpuas hati dengan cara demonstrasi itu dijalankan yang dilakukan oleh kira-kira 60 orang di lokasi kejadian.
Semua yang hadir termasuk Koroner Amir Shah Amir Hassan, pakar patologi forensik Dr Jessie Hiu, ibu bapa Zara, peguam yang mewakili ibu bapa Zara, pegawai sekolah serta polis Papar.
Terdahulu, perhatian umum hari ini tertumpu ke arah SMKA Tun Datu Mustapha apabila semua pihak terlibat inkues mengadakan lawatan ke lokasi kejadian pagi tadi.
Pihak media mula hadir memenuhi kawasan luar sekolah seawal pukul 7 pagi. Pasukan Polis Di Raja Malaysia juga dilihat melaksanakan kawalan keselamatan bagi memastikan proses locus in quo (prosiding luar mahkamah) berjalan lancar. – KOSMO! ONLINE














