UTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menyerahkan Notis Untuk Tunjuk Sebab kepada aktivis Mona Din berikutan hantaran dalam Facebook yang bersifat menghina mahkamah berkaitan dengan prosiding inkues pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina Mahathir.
Dalam kenyataannya hari ini Notis Untuk Tunjuk Sebab itu diberikan semalam berhubung hantaran yang dibuat dalam media sosial Facebook dengan nama akaun “Mona Din” pada 4 September lalu.
“Daripada penelitian, AGC mendapati hantaran yang dibuat Mona Din atau nama sebenarnya Che Muna Din itu, yang antara lain mempertikaikan keterangan saksi pakar Pakar Patalogi Forensik di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah iaitu Dr. Jessie Hiu yang mana berpotensi untuk mempengaruhi pandangan awam serta mengganggu perjalanan prosiding Inkues yang sedang dijalankan,” kata kenyataan itu.
Ujar kenyataan tersebut, Notis Untuk Tunjuk Sebab itu adalah selaras dengan Aturan 52 Kaedah 2B Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 yang mana ia merupakan sebahagian daripada prosedur yang perlu dipatuhi bagi memulakan prosiding pengkomitan kerana menghina mahkamah.
Tambahnya, AGC memandang serius sebarang tindakan yang boleh menjejaskan proses keadilan dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas menurut peruntukan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang berbuat demikian.
“Jabatan ini mengingatkan orang ramai supaya tidak memuat naik, mengulas atau menyebarkan sebarang hantaran yang boleh menimbulkan kekeliruan atau mengganggu prosiding mahkamah yang sedang berjalan, ” ujar kenyataan itu lagi. – KOSMO! ONLINE