fbpx
AKSI sukar dihadapi Sze Fei (kanan) dan Izzuddin ketika menewaskan Haonan-Wei Han di pusingan pertama Terbuka Hong Kong. - AFP

Terbuka Hong Kong: DinFei cemas sebelum menang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dipaksa bekerja keras sebelum mara ke pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong.

Pada aksi pusingan pertama di Hong Kong Coliseum sebentar tadi, pasangan No.3 dunia itu mencatat kemenangan 21-12, 11-21, 21-19 ke atas Xie Haonan-Zeng Wei Han dari China.

Turun sebagai pilihan kedua kejohanan, gandingan yang dikenali dengan julukan DinFei itu diramalkan tidak berdepan banyak masalah untuk menewaskan beregu No.27 dunia tersebut.

Bagaimanapun, sebaliknya berlaku apabila Sze Fei-Izzuddin dipaksa bermain sehingga ke set penentuan sebelum memastikan kemenangan dalam tempoh 51 minit.

Juara Terbuka India itu berjaya mengekalkan fokus, terutamanya di set ketiga ketika Haonan-Wei Han cuba mengejar sebelum melengkapkan kemenangan muktamad 21-19.

Menjelang pusingan kedua Khamis ini, Sze Fei-Izzuddin dijadualkan bertemu beregu Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen yang menewaskan Chen Zhi Yi-Presley Smith dari Amerika Syarikat.

Berdasarkan rekod semasa, beregu negara dijangka tidak berdepan banyak masalah apabila pernah menewaskan pasangan tersebut sebanyak tujuh kali dalam lapan pertemuan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN