PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sembilan lagi individu akan dihadapkan ke mahkamah membabitkan kes pecah amanah dan pengubahan wang haram projek Lebuh Raya MEX II.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, kesemua mereka dijangka didakwa di mahkamah akhir bulan ini.
Katanya, kesemua individu terbabit dipercayai terlibat dengan transaksi dana melibatkan Pengarah Maju Holdings Sdn. Bhd., Tan Sri Abu Sahid Mohamed.
“Kami jangka kesemua mereka akan dituduh pada akhir bulan ini,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Sebelum ini, Abu Sahid Mohamed mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan pecah amanah lebih RM313 juta dan 13 pertuduhan ubah wang haram RM139.2 juta, berkaitan projek MEX II.
Ia membabitkan projek sambungan MEX II yang menghubungkan Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Azam berkata, Abu Sahid juga bakal berdepan tujuh lagi pertuduhan tambahan di mahkamah dalam tempoh terdekat. – KOSMO! ONLINE














