PETALING JAYA – Audit dalaman merupakan benteng utama dalam memastikan tatakelola negara sentiasa telus dan bebas daripada ketirisan serta penyalahgunaan kuasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tanpa pemantauan yang telus, integriti sistem pentadbiran akan terdedah kepada risiko rasuah dan salah guna kuasa.
“Audit dalaman bukan sekadar proses rutin, ia adalah teras kepada tatakelola yang baik dan pelindung kepada integriti perkhidmatan awam.
“Tanpa pemantauan yang telus dan bebas, risiko ketirisan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah akan terus membelenggu sistem kita,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Anwar melancarkan Persidangan Konfederasi Asia Institut Juruaudit Dalaman (ACIIA) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Sementara itu, Anwar menambah, sejarah seperti skandal 1Malaysia Development Berhad dan krisis kewangan Asia memberi pengajaran besar mengenai kepentingan memberi ruang kepada juruaudit dalaman untuk menjalankan tanggungjawab mereka tanpa gangguan.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan komited memperkukuh institusi-institusi audit, antaranya melalui pindaan pertama Akta Audit dalam tempoh 33 tahun serta penubuhan Jawatankuasa Ketidakaturan Serius sebagai bukti keseriusan menangani pelanggaran tatakelola secara menyeluruh.
“Tatakelola yang baik bukan beban, tetapi asas kepercayaan rakyat dan pelaburan jangka panjang kepada kestabilan negara.
“Audit dalaman ialah benteng utama dalam memastikan amanah ini ditunaikan dengan penuh integriti,” katanya. – KOSMO! ONLINE














