RUSUHAN yang berlaku di Indonesia baru-baru ini nyata mengejutkan masyarakat serantau, termasuk rakyat Malaysia.
Kejadian tersebut yang tercetus akibat isu berkaitan ekonomi, kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan serta jurang sosial antara golongan elit dan rakyat marhaen, turut menarik perhatian umum di negara ini.
Susulan itu, timbul pandangan segelintir masyarakat yang menyuarakan kebimbangan bahawa insiden seumpama itu juga berpotensi berlaku di negara ini.
Bagaimanapun, menurut Pakar Perang Saraf dan Penganalisis Keselamatan dan Politik, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin, rusuhan tersebut wajar dijadikan iktibar, bukan perbandingan langsung terhadap konteks dan situasi di negara ini.
Beliau berkata, isu yang berlaku di negara jiran itu adalah permasalahan dalaman yang kompleks dan memerlukan pendekatan yang bersifat menghormati latar belakang serta proses demokrasi negara tersebut.
“Setiap negara mempunyai realiti yang berbeza, dipengaruhi oleh faktor seperti demografi, psikografi dan kematangan masyarakat.
“Memberi komen terhadap peristiwa luar tanpa memahami konteks sebenar hanya akan menjejaskan semangat diplomatik serta kerjasama dalam kalangan negara-negara ASEAN,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Noor Nirwandy berkata, bagaimanapun negara berdepan cabaran utama masa kini iaitu penggunaan media sosial yang boleh mempengaruhi persepsi dan emosi masyarakat, sehingga mencetuskan rasa tidak puas hati serta tekanan psikologi dalam kalangan rakyat.
“Perkara ini sukar dielakkan. Ramai rakyat mudah terpengaruh dengan naratif tidak tepat, terutamanya apabila dimanipulasi oleh pihak berkepentingan untuk tujuan politik,” katanya.
Sehubungan itu katanya, kerajaan wajar memperkukuhkan lagi usaha membina pemikiran masyarakat yang matang dan seimbang agar nilai-nilai keamanan, toleransi dan rasionalisasi kekal menjadi asas dalam pembinaan negara.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan masyarakat agar tidak mudah terpengaruh dengan pihak tertentu yang cuba mempertikaikan aspek keselamatan negara atas kepentingan pihak-pihak tertentu.
“Sebarang tindakan yang menggugat keselamatan nasional perlu ditangani dengan tegas. Kita tidak boleh berkompromi dalam hal yang melibatkan kedaulatan dan ketenteraman awam.
“Ahli politik dan pemimpin negara harus bijak menangani desakan populis yang hanya bertujuan menyenangkan hati pengundi tanpa memikirkan implikasi jangka panjang terhadap kestabilan negara.
Justeru itu, keseimbangan antara kebebasan dan keselamatan perlu dipelihara. Ia memerlukan kepimpinan yang berani, berfikir jauh dan tidak terperangkap dalam retorik semata-mata.















