LONDON – Pengendali England, Thomas Tuchel percaya pasukan itu sepatutnya mampu meledak gol dengan jumlah yang lebih besar ketika meraih kemenangan 2-0 ke atas Andorra pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026 di Villa Park awal pagi semalam.
Perlawanan itu menyaksikan hampir separuh daripada penyokong England yang hadir memberikan sokongan membuat keputusan untuk pulang lebih awal ekoran aksi hambar dipamerkan ketika berdepan pasukan yang berada di ranking 174 dunia.
Tuchel mengakui bahawa para pemainnya tidak berada pada prestasi terbaik terutama di hadapan pintu gol lawan sekali gus menyaksikan mereka hanya mampu meledak tiga gol dalam dua aksi menentang Andorra.
Bagaiamanapun, pengendali dari Jerman itu percaya The Three Lions akan benar-benar menunjukkan kualiti mereka menjelang aksi menentang Serbia pada awal pagi Rabu ini untuk memberikan hadiah terbaik buat peminat.
“Saya fikir tenaga sudah berada pada tahap terbaik, begitu juga dengan kualiti, tetapi kami perlu menjaringkan lebih gol. Selepas meledak gol pertama, kami menghabiskan masa 10 hingga 15 minit dengan banyak kehilangan bola serta fokus dalam permainan.
“Namun, kami kembali berjaya meledak gol pada babak kedua. Kami terlepas beberapa momen terbaik untuk menambah jaringan termasuk menerusi Eberechi Eze, Noni Madueke dan Marcus Rashford.
“Jaringan kedua sepatutnya datang lebih awal untuk menambah keyakinan pemain, tetapi secara keseluruhan saya berpuas hati dan persembahan kali ini lebih baik berbanding aksi Jun lalu,” katanya.
Pada perlawanan itu, England berjaya menembusi gawang Andorra menerusi jaringan sendiri Christian Garcia dan Declan Rice sekali gus kekal sebagai pendahulu Kumpulan K dengan rekod bersih kemenangan dalam empat perlawanan. – AGENSI