SHAH ALAM – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuat laporan polis berhubung insiden kekecohan ketika ucapan dasar perasmian Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) parti itu, malam tadi.
Selain itu, satu laporan telah dibuat kepada Lembaga Disiplin parti kepada perwakilan dan individu terlibat.
Ketua Penerangan Armada, Harris Idaham Rashid berkata, dua laporan itu dibuat pihaknya bertujuan menggesa tindakan diambil terhadap pihak yang mencetuskan kekecohan.
Jelas Ketua Bahagian Bersatu Balik Pulau itu, Armada berpendirian bahawa kebebasan untuk bersuara perlu dibuat secara berada dan tertib.
“Namun, berlaku kekecohan itu dan berjaya dikawal pasukan Briged Armada yang mengawal keselamatan ketika insiden berkenaan.
“Justeru, kita tampil membuat laporan polis dan lembaga parti bagi menyiasat individu terlibat dan tindakan ke atas mereka,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Menurut Harris, insiden itu dianggap memalukan kerana berlaku dalam khalayak ramai termasuk di hadapan parti komponen lain dan petugas media, manakala individu yang mencetuskan kekecohan telah memohon maaf. – KOSMO! ONLINE