PETALING JAYA– Proton bakal mempunyai laluan kereta api khas ke kilang kenderaan elektrik (EV) mereka bagi memudahkan penghantaran kenderaan ke pelabuhan dan bandar utama.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya kini dalam perbincangan bersama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Railway Assets Corporation (RAC) dan Proton untuk membangunkan jajaran sisihan (spurline) terus ke kawasan pengilangan tersebut.
“Langkah ini selaras dengan dasar Road to Rail bagi mengurangkan kenderaan berat di jalan raya selain memudahkan logistik industri,” katanya di media sosial.
Anthony yang mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan ke kilang EV Proton di Tanjung Malim, Perak turut menegaskan komitmen kerajaan menyokong pelaburan syarikat tempatan dan antarabangsa dalam membangunkan kilang EV di Malaysia.
Menurutnya, dasar strategik yang digerakkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Kerajaan Madani diyakini mampu melonjakkan industri automotif negara ke tahap lebih tinggi.- KOSMO! ONLINE.