CARDIFF – Pesakit sebuah hospital di Wales berdepan detik menyeramkan apabila cecair merah pekat seperti darah dilihat menitis dari siling bangunan, lapor akhbar The Sun UK.
Penemuan aneh itu berlaku di sebuah bilik konsultasi di Hospital Barry.
Seorang pegawai Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) di Wales berkata, pegawai-pegawai perubatan terpaksa bekerja dalam persekitaran kotor dalam jangka masa yang lama.
“Selain tikus berkeliaran di atas siling, darah tiba-tiba menitis ke lantai berhampiran tempat pesakit duduk. Kami kerap mendengar haiwan perosak itu berlari-lari di atas siling,” katanya.
Lembaga Kesihatan Universiti Cardiff dan Vale menegaskan bahawa tindakan segera akan diambil untuk menyelesaikan isu tersebut.
“Kami amat kesal dengan kebimbangan yang dibangkitkan mengenai keadaan salah satu bilik konsultasi yang daif di Hospital Barry.
“Pencegahan dan pemantauan haiwan perosak telah dilaksanakan. Kami juga akan menjalankan tinjauan menyeluruh di hospital untuk menyelesaikan semua isu yang dibangkitkan,” kata seorang jurucakap pihak berwajib. – AGENSI