FITNAH tidak lagi sekadar kisah dongeng zaman dahulu, dalam dunia moden yang serba pantas, ia menjelma dalam bentuk komen media sosial, ciapan tular dan video yang sengaja dimanipulasi.
Sebagai wartawan, saya sering melihat bagaimana sesuatu fitnah merosakkan hidup manusia. Mangsa bukan sahaja berdepan tekanan emosi, malah boleh kehilangan kerja, keluarga dan harga diri kerana naratif palsu yang direka pihak tidak bertanggungjawab.
Baru-baru ini, kes kematian Zara Qairina Mahathir, 13, menjadi tular dan pelbagai spekulasi dibuat sehingga mencetuskan penyebaran berita palsu yang akhirnya menjurus kepada fitnah.
Bagi penulis, fitnah ibarat api dalam sekam, ia menyala perlahan, tetapi mampu membakar seluruh kehidupan sekiranya tidak dibendung.
Lebih bahaya, masyarakat hari ini lebih gemar membaca tajuk sensasi berbanding fakta, butang share ditekan tanpa usul periksa dan fitnah tersebar lebih pantas daripada kebenaran.
Saya percaya punca utama fitnah merebak dalam era digital kerana kita terlalu memberi ruang kepada persepsi berbanding realiti.
Mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, penyebaran komunikasi jelik, palsu atau mengaibkan di alam maya merupakan satu kesalahan serius dan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara setahun.
Namun, persoalannya adakah masyarakat kita benar-benar sedar tentang implikasi undang-undang ini atau masih menganggap fitnah sekadar ‘gurauan internet?’
Pegawai Psikologi Kanan Pejabat Pendaftar Universiti Putra Malaysia, Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, dari sudut psikologi, individu yang sanggup mereka-reka fitnah biasanya didorong oleh faktor emosi, kognitif atau sosial tertentu.
“Antara yang lazim adalah rasa iri hati, keinginan kuasa, masalah harga diri serta dendam peribadi.
“Fitnah dijadikan ‘senjata’ untuk menjatuhkan orang lain, mengawal naratif atau menutup kekurangan diri,” katanya kepada Kosmo!.
Menurut beliau, ada juga yang melakukannya kerana keseronokan melihat drama sosial, pengaruh persekitaran toksik malah dalam kes lebih serius boleh berkait dengan gangguan keperibadian seperti narsistik atau antisosial.
Katanya, fitnah juga boleh memberi kesan besar terhadap kesihatan mental mangsa seperti tekanan emosi, kegelisahan sosial serta gangguan tidur untuk jangka masa pendek.
“Dalam jangka panjang pula, ia mampu mencetuskan kemurungan, isolasi sosial dan trauma psikologi seperti gangguan tekanan pascatrauma,” ujarnya.
Namun, Siti Fatimah menegaskan bahawa mangsa atau individu masih mampu melawan kesan ini dengan menggunakan teknik psikologi praktikal.
“Antaranya adalah pernafasan relaksasi, journaling emosi, self-talk positif selain mencari sokongan daripada rakan dan keluarga. Selain itu, sokongan sosial adalah jaring keselamatan yang membantu mangsa keluar dari trauma,” ujarnya.
Penulis berpandangan, dalam konteks masyarakat Malaysia, kita perlu memperkukuhkan budaya literasi digital. Setiap orang mesti diajar untuk menilai kesahihan sesuatu maklumat sebelum berkongsi. Malangnya, budaya forward tanpa fikir masih menebal seolah-olah tidak ada kesan buruk.















