PETALING JAYA – Pelakon kontroversi Zarina Anjoulie mendedahkan telefon pintarnya dirampas dan kini sedang disiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung isu kandungan video dalam aplikasi Telegram.
Menurut Zarina atau nama lengkapnya Zarina Anjoulie Lavocah Mohd. Fahizul, 38, dia mengakui kekhilafannya dan tidak menyalahkan mana-mana pihak sebaliknya memuji pihak MCMC menjalankan tugas dengan tulus.
“Pihak MCMC sedang membuat siasatan. Tolong biarkan mereka jalankan tugas. Telefon Anju dah kena ambil. Sekarang Anju pakai telefon terpaksa yang Anju sempat beli di kedai selepas habis siasatan.
“Tak apalah, ini pengajaran buat saya. Terima kasih banyak-banyak kepada netizen sudi tegur dan nasihat. Ini satu peringatan yang sangat baik untuk saya supaya jangan jadi bodoh lain kali. Doakan saya ya,” tulisnya dalam Instagram.
Tambahnya lagi, telefon pintar yang dirampas mengandungi akaun telegram yang digunakannya untuk menjual kandungan dalam aplikasi tersebut dengan menggunakan nombor yang berdaftar di Indonesia.
Pelakon filem Zim Zim Ala Kazim itu juga berlapang dada dengan setiap makian serta cacian netizen terhadapnya.
“Saya tak marah pun walau ada yang maki hamun. Saya cakap terima kasih kerana tegur sebab saya tahu mereka buat begitu kerana sayangkan saya. Saya faham.
“Saya minta maaf pada netizen kalau ada yang terguris hati dengan hantaran saya dalam media sosial sebelum ini,” katanya menerusi sebuah hantaran video.
Terdahulu, Zarina dikecam ramai selepas dia berkongsi momen di Bali bersama pelakon filem dewasa amatur yang dikenali sebagai Hot Daddy.
Mereka turut mempromosikan akaun telegram yang dijual secara terbuka untuk dilanggan. – KOSMO! ONLINE